Benarkan Ukraine lancar serangan, Russia bagi amaran keras AS

Benarkan Ukraine lancar serangan, Russia bagi amaran keras buat AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW : Kremlin mengeluarkan amaran keras terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang membenarkan Ukraine melancarkan serangan ke atas sasaran di wilayah Russia menggunakan peluru berpandu jarak jauh buatan AS.

Langkah itu disifatkan sebagai mencetuskan konflik dan meningkatkan ketegangan antarabangsa.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, langkah tersebut akan menambah bahan bakar ke dalam api peperangan dan mencetuskan perubahan besar terhadap sifat konflik itu.

“Pentadbiran Washington yang akan tamat ini jelas mahu mengambil langkah untuk terus mencetuskan ketegangan dan memprovokasi keadaan,” kata Peskov dalam kenyataan akhbar.

Langkah Biden diumumkan sehari sebelum konflik mencapai hari ke-1,000 sejak pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada 2022.

Keputusan Biden dilaporkan dipengaruhi oleh kehadiran tentera Korea Utara di Russia, dipercayai membantu Moscow mempertahankan wilayah sempadannya di Kursk daripada serangan Ukraine.

Pegawai AS yang enggan dinamakan berkata, keputusan ini adalah tindak balas terhadap penglibatan langsung Korea Utara dalam konflik.

Peskov turut mengingatkan langkah ini akan menyebabkan NATO, termasuk AS, dianggap terlibat secara langsung dalam peperangan dengan Russia.

Presiden Russia, Vladimir Putin, sebelum ini memberi amaran Russia mungkin membekalkan senjata jarak jauh kepada sekutunya sebagai tindak balas terhadap langkah NATO sambil menyatakan kesediaan Moscow menggunakan senjata nuklear jika kedaulatannya terancam.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberi respons ringkas terhadap langkah itu, menyatakan peluru berpandu akan bersuara sendiri.

Walau bagaimanapun, pakar ketenteraan menjangka kesan strategik langkah ini mungkin terhad, memandangkan stok peluru berpandu ATACMs yang kecil serta kekangan bekalan dari AS sendiri. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya