DAKAR: Bekas Pemimpin Senegal, Macky Sall yang mencetuskan salah satu krisis terburuk dalam beberapa dekad apabila menangguhkan Pilihan Raya Presiden awal tahun ini, kini berusaha membuat kemunculan semula dalam Pilihan Raya Parlimen tergempar, Ahad ini.
Sall meninggalkan jawatan Presiden pada April lalu, selepas 12 tahun berkuasa, menyerahkan pentadbiran kepada penggantinya, Bassirou Diomaye Faye, sebelum berpindah ke Maghribi.
Kini, bekas Presiden itu mengetuai gabungan pembangkang baharu dari luar negara, menimbulkan persoalan mengenai motif di sebalik kepulangannya ke gelanggang politik dan impaknya terhadap Senegal.
Musuh politik lama Sall, Perdana Menteri, Ousmane Sonko beberapa kali mencadangkan agar bekas pentadbiran, termasuk Sall sendiri, dihadapkan ke mahkamah.
Sonko menuduh pentadbiran Sall meninggalkan kewangan awam dalam keadaan ‘bencana’ dan memanipulasi angka kewangan untuk diberikan kepada rakan antarabangsa, yang dinafikan oleh pemimpin sebelumnya.
Penganalisis politik juga melihat kepulangan Sall sebagai usaha untuk menguasai permainan politik demi melindungi kepentingannya sendiri daripada sebarang tindakan balas politik.
Walaupun dihormati di pentas antarabangsa, tahun-tahun terakhir pentadbiran Sall dicemari pertembungan politik dengan Sonko yang menyebabkan puluhan kematian dan ratusan tangkapan.
Keputusan saat akhir Sall untuk menangguhkan Pilihan Raya Presiden, Februari lalu, mencetuskan krisis yang dianggap terburuk di Senegal dalam beberapa dekad.
Jurucakap Kerajaan, Amadou Moustapha Ndieck Sarre memberitahu stesen radio Senegal, RFM, keselamatan Sall akan terjamin jika beliau kembali ke negara ini.
Ini kerana, beliau adalah warganegara dan bekas Presiden Republik, namun tidak dapat dijamin sekiranya mahkamah mengeluarkan keputusan untuk menangkap bekas pemimpin tersebut.
“Jika mahkamah memutuskan untuk menangkapnya, tiada yang dapat menghalang proses tersebut,” katanya. -AGENSI