Bekas penasihat Perdana Menteri Iraq terlibat rasuah RM11.7 bilion

Bekas penasihat Perdana Menteri Iraq terlibat rasuah RM11.7 bilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Mahkamah di Iraq menjatuhkan hukuman penjara terhadap beberapa bekas pegawai kanan kerajaan, seorang ahli perniagaan dan individu lain yang terlibat dalam kecurian dana awam berjumlah RM11.7 billion.

Kes itu sekaligus mencatatkan salah satu skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara itu.

Tiga individu berprofil tinggi yang disabitkan kesalahan ialah ahli perniagaan, Nour Zuhair, bekas Pengarah Kabinet kepada bekas Perdana Menteri, Mustafa Al-Kadhemi, Raed Jouhi, dan bekas penasihat, Haitham Al-Juburi.

Kesemua tertuduh berjaya melarikan diri dan dijatuhkan hukuman secara in absentia (tanpa kehadiran).

Kes mahkamah yang digelar sebagai ‘rompakan abad ini’ mencetuskan kemarahan besar-besaran dalam kalangan rakyat Iraq, sebuah negara yang bergelut dengan rasuah, pengangguran dan infrastruktur yang usang akibat konflik selama beberapa dekad.

Menurut kenyataan Majlis Kehakiman Tertinggi Iraq, mahkamah jenayah di Baghdad yang mengendalikan kes rasuah menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun terhadap 13 individu yang terlibat.

Ahli Parlimen, Mostafa Sanad mendedahkan 10 daripada mereka adalah pegawai pihak berkuasa cukai Iraq, termasuk bekas pengarah dan timbalan pengarah agensi tersebut.

Dua tahun lalu, pihak berkuasa Iraq mengesahkan sekurang-kurangnya RM 11.7 bilion dicuri antara September 2021 hingga Ogos 2022 melalui 247 cek yang dicairkan oleh lima syarikat sebelum dikeluarkan secara tunai.

Nour Zuhair dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan pernah ditahan di Lapangan Terbang Baghdad pada Oktober 2022, ketika cuba meninggalkan negara, namun dibebaskan sebulan kemudian dengan jaminan selepas memulangkan lebih AS$125 juta serta berjanji untuk membayar baki secara ansuran.

Sementara itu, Haitham Al-Juburi, bekas penasihat Perdana Menteri, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas memulangkan AS$2.6 juta sebelum melarikan diri, menurut sumber kehakiman.

Manakala Raed Jouhi, pengarah Kabinet kepada Mustafa Al-Kadhemi, pula dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan beliau kini dipercayai berada di luar negara.

Rasuah menjadi isu besar yang menjejaskan pelbagai institusi awam di Iraq, namun hukuman mahkamah lazimnya hanya menyasarkan pegawai peringkat pertengahan atau individu kecil, sementara mereka di puncak kuasa jarang disabitkan kesalahan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN