RAMALLAH: Situasi di Gaza makin meruncing selepas bekalan tepung dan makanan yang dibenarkan masuk oleh Israel melalui lintasan sempadan hanya memenuhi enam peratus daripada keperluan penduduk.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan perkara berkenaan seperti dilaporkan oleh Agensi Berita Palestin (WAFA).
Keadaan itu menambahkan penderitaan penduduk untuk mendapatkan bekalan roti, sehingga kebanyakan kedai roti di selatan Semenanjung Gaza terpaksa ditutup.
UNRWA menjelaskan lebih dua juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza kini dilanda masalah kebuluran, kehausan, penyakit dan ketakutan untuk mendapatkan makanan.
Agensi itu turut melaporkan keadaan penduduk berkenaan di kawasan khemah dan pusat perlindungan perpindahan adalah tragis, akibat dibelenggu kelaparan dan kesejukan.
Organisasi antarabangsa juga malah gagal memenuhi keperluan penduduk yang mengharapkan bantuan keperluan itu untuk meneruskan hidup.
UNRWA menyeru pembukaan penuh lintasan sempadan dan kemasukan bekalan yang diperlukan penduduk bagi mengatasi masalah kebuluran yang mengundang masalah kekurangan zat makanan dan mencetus pelbagai penyakit. – AGENSI