BARCELONA: Pendahulu La Liga, Barcelona yang masih segar dengan kemenangan 4-0 ke atas Real Madrid dalam perlawanan El Clasico di Bernabeu hujung minggu lalu, bakal menunggu kunjungan Espanyol dengan sasaran melebarkan jurang kedudukan di puncak carta.
Selepas memenangi 10 daripada 11 perlawanan liga, pasukan bimbingan Hansi Flick kini enam mata di hadapan Real Madrid dan sembilan mata mengatasi Villarreal di kedudukan ketiga.
Dengan gaya permainan menyerang yang agresif dan menghiburkan, Barca kendalian Flick telah menjaringkan 37 gol liga musim ini dengan Robert Lewandowski mendahului carta penjaring La Liga menerusi 14 gol, dua kali ganda jumlah pesaing terdekatnya, penyerang Villarreal Ayoze Perez.
Barcelona yang menghadapi kesukaran musim ini dengan kecederaan beberapa pemain utama termasuk Ronald Araujo, Marc-Andre ter Stegen, Gavi, Frenkie De Jong, Dani Olmo, Ferran Torres dan Andreas Christensen potensi pasukan nampaknya tiada batasan jika Flick dapat menguruskan kesemua pemain utamanya dalam kempen ini.
“Saya gembira bekerja di Barcelona dan tinggal di Barcelona. Ia adalah tugas yang hebat, saya sangat gembira… Kami bermain dengan cemerlang (menentang Real) dan saya sangat bangga.
“Saya rasa kami berada di landasan yang betul. Kami berpegang pada idea kami dan pada masa ini kami lancar dan mahu terus maju memburu trofi,” kata Flick.
Sementara itu, perlawanan hari ini antara Real Madrid dan Valencia serta Villarreal menentang Rayo Vallecano ditangguhkan susulan banjir kilat yang terburuk dalam beberapa dekad melanda kawasan timur negara itu.-AFP