Banjir Thailand: 130,000 penduduk terjejas - Utusan Malaysia

Banjir Thailand: 130,000 penduduk terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK : Lebih 130,000 penduduk di tujuh wilayah selatan Thailand terjejas akibat banjir yang berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu, dengan ramalan cuaca menjangka hujan akan berlarutan hingga 3 Disember depan. 

Hujan lebat yang melanda kesemua wilayah selatan sepanjang Teluk Thailand turut menyebabkan beberapa perkhidmatan kereta api dihentikan, khususnya di laluan antara Pattani dan Yala.

Pejabat Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran baharu berhubung hujan lebat yang dijangka melanda lapan wilayah sehingga Ahad ini, iaitu Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat. 

Pengarah Pusat Pentadbiran Air Negara (ONWR), Thanaroj Woraratprasert berkata, paras air di sungai utama seperti Pattani, Saiburi, Kolok dan Tanyongmas diramalkan meningkat mendadak dalam beberapa hari akan datang, dengan limpahan dari 1.5 hingga dua meter.

Narathiwat mencatatkan jumlah hujan tertinggi dalam tempoh seminggu terakhir iaitu 1,100 milimeter (mm), diikuti Pattani (492mm) dan Yala (405mm). 

Bagaimanapun, taburan hujan dijangka berkurangan selepas  4 Disember  ini, dengan paras air banjir di kawasan terjejas dijangka mulai surut.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Traisuree Traisaranakul memaklumkan banjir kali ini berlaku dalam tempoh singkat tetapi meluas, menyebabkan beberapa kawasan berisiko tinggi tanah runtuh, khususnya komuniti berhampiran kawasan pergunungan.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) melaporkan banjir masih menjejaskan 50 daerah, 321 mukim dan 1,884 kampung di tujuh wilayah selatan, melibatkan 136,219 keluarga. 

Usaha bantuan melibatkan kerjasama pelbagai agensi, termasuk menyediakan pusat pemindahan, peralatan menyelamat dan bantuan keperluan asas.

Sebagai langkah segera, DDPM bersama Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Nasional (NBTC) telah menghantar amaran banjir melalui kiriman mesej ringkas (SMS) kepada penduduk di Pattani, Yala, dan Narathiwat. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya