JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia kini giat mencari tujuh mangsa yang masih hilang selepas hujan lebat melanda wilayah Sumatera Utara empat hari lalu, menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh yang mengorbankan 15 nyawa.
Menurut Jurucakap Agensi Bencana Indonesia, Abdul Muhari, seramai 11 mangsa terkorban akibat tanah runtuh di daerah Karo, Padang Lawas, dan Tapanuli Selatan.
Empat lagi maut dalam insiden banjir kilat yang melanda daerah Deli Serdang selepas cuaca buruk melanda Sabtu lalu.
Sehingga kini, sekitar 100 penyelamat bersama anggota polis dan tentera dikerahkan untuk mencari mangsa yang masih hilang, namun operasi berdepan kesukaran akibat hujan berterusan.
“Hujan masih turun dari petang hingga malam, dan ia menjadi halangan utama dalam usaha kami mencari mangsa yang hilang,” kata Abdul.
Tambahnya, operasi pencarian akan diteruskan sehingga Sabtu depan.
Insiden ini turut menyebabkan kerosakan besar kepada rumah, masjid dan sawah padi di kawasan yang terjejas, manakala akses jalan ke beberapa kampung terputus dan jentera penggorek digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Agensi Bencana memberi amaran kepada penduduk di wilayah Sumatera Utara untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir dalam beberapa minggu akan datang kerana hujan lebat dijangka berterusan, jelas Abdul.
Tanah runtuh sering berlaku di Indonesia, khususnya pada musim hujan dengan risiko kejadian ini bertambah buruk akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan haram berskala kecil yang berlaku di kawasan terpencil.
Pihak berkuasa terus menyeru penduduk agar berwaspada dan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya bagi menghadapi bencana yang tidak dijangka ini. -AGENSI