BANGKOK: Hujan lebat selama tiga hari berturut-turut sehingga menyebabkan banjir mengorbankan seorang pelajar di selatan Thailand, Narathiwat.
Ketua Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi, Wasan Chaitaweewong berkata, musibah banjir juga menyebabkan lebih 2,700 orang terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing.
Jelasnya, hujan tanpa henti juga memaksa sesi persekolahan di 65 premis ditangguhkan.
Jabatan Meteorologi Thai meramalkan hujan lebat akan berterusan merentasi 70 peratus wiayah itu sehingga awal Disember depan, dengan amaran hujan lebat kekal berkuat kuasa.
Lebih 500 tentera dan sukarelawan dikerahkan bagi mengagihkan kit bantuan kepada penduduk yang berpindah ke pusat perlindungan.
Walaupun Thailand mengalami hujan monsun tahunan, saintis berkata, perubahan iklim akibat tangan manusia menyebabkan corak cuaca lebih teruk yang berisiko menyebabkan banjir lebih dahsyat.
Untuk rekod, banjir besar di seluruh Thailand pada 2011 mengorbankan lebih 500 orang dan merosakkan berjuta-juta rumah di seluruh negara. -AFP