SEPANG: Kemenangan Francesco Bagnaia dalam kelas utama, MotoGP pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang, semalam mengheret persaingan merebut kejuaraan dunia ke pusingan terakhir.
Keputusan itu menyaksikan pelumba kelahiran Itali itu berjaya menghalang Jorge Martin daripada dinobatkan sebagai juara dunia lebih awal bagi kelas elit itu.
Bagaimanapun, venue pelumbaan terakhir itu belum diketahui apabila perlumbaan seterusnya di Litar Ricardo Tormo yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 November kemungkinan dibatalkan susulan banjir buruk di Valencia.
Kejayaan Bagnaia menyaksikan dia kini mengutip 461 mata dan merapatkan jurang kepada 24 mata di belakang Martin yang mengumpul 485 mata selepas menokok 20 mata selaku naib juara.
“Sejujurnya, Jorge sangat agresif tetapi kami juga menemui rentak yang baik. Ia kemenangan ke-10 musim ini, kami melakukan kerja yang luar biasa,” kata penyandang juara dunia itu.
Sementara itu, pelumba Prima Pramac Racing, Martin yang berasal dari Madrid, Sepanyol memberitahu, perlumbaan, semalam, sangat sukar dan sudah tentu semua orang mahukan kemenangan begitu juga dirinya dan Bagnaia.
“Pecco beraksi dengan cukup agresif, dia mendahului saingan sejak awal lagi dan gelaran dunia akan ditentukan dalam perlumbaan pusingan terakhir nanti,” ujarnya.
Difahamkan Litar Catalunya Barcelona, menjadi antara venue pilihan namun ia belum dimuktamadkan oleh pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna.
Begitupun, sejak bertahun-tahun, GP Valencia secara tradisinya menjadi destinasi pusingan penutup tirai MotoGP yang kebiasaannya menjadi penentu kepada kejuaraan dunia.-UTUSAN