AS lulus penjualan senjata AS$1.3 bilion kepada Israel, Ukraine

AS lulus penjualan senjata bernilai lebih AS$1.3 bilion kepada Israel, Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meneruskan pakej penjualan senjata bernilai AS$680 juta (RM3.02 billion) kepada Israel dan sedang menyediakan pakej senjata bernilai AS$725 juta (RM3.2 billion) untuk Ukraine, kurang dua bulan sebelum beliau berundur dari Rumah Putih.

SOKONG PERANG GAZA

Pakej itu, yang pertama kali dilaporkan oleh Financial Times, termasuk beribu-ribu kit peluru serangan langsung bersama (JDAM) dan ratusan bom berdiameter kecil.

Berita itu dilaporkan kurang sehari selepas perjanjian gencatan senjata menamatkan konfrontasi paling dahsyat dalam beberapa tahun antara Israel dan kumpulan Hezbollah.

Usaha menyediakan pakej itu memakan masa selama beberapa bulan dan pertama kali dipratonton kepada jawatankuasa Kongres pada September sebelum diserahkan untuk semakan bulan lalu.

Pakej itu menyusuli penjualan jet pejuang dan peralatan ketenteraan lain kepada Israel bernilai AS$20 billion (RM88.89 billion) pada Ogos lalu.

Reuters melaporkan, Washington yang merupakan sekutu terbesar Israel dan pembekal senjata Utama rejim itu, telah menghantar lebih daripada 10,000 bom yang sangat merosakkan dan beribu-ribu peluru berpandu Hellfire sejak permulaan perang Gaza pada Oktober 2023.

Pakej terbaharu itu tetap dilaksanakan walaupun sekumpulan senator AS yang progresif termasuk Bernie Sanders memperkenalkan resolusi untuk menyekat penjualan beberapa senjata AS kepada Israel berikutan kebimbangan mengenai malapetaka hak asasi manusia yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza.

Undang-undang itu gagal meraih undi di Dewan Senat.

Biden menjadi penyokong kuat Israel sejak kumpulan lelaki bersenjata pimpinan Hamas menyerang pada Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menjadikan lebih 250 sebagai tebusan.

Tindak balas Israel menyebabkan  lebih 43,922 rakyat Palestin telah terbunuh, dengan sekitar 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan berisiko kebuluran.

BANTU KYIV LAWAN RUSSIA

Selain Israel, AS kini gigih menyediakan pakej senjata untuk Ukraine ketika Biden berusaha untuk menguatkan kerajaan di Kyiv sebelum meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari depan.

Menurut seorang pegawai yang mengetahui rancangan itu, pentadbiran Biden merancang menyediakan pelbagai senjata anti-kereta kebal daripada stok AS untuk menumpulkan tentera Russia yang semakin mara.

Sokongan itu termasuk menyediakan periuk api darat, dron, peluru berpandu Stinger serta peluru untuk Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) .

Pakej itu juga dijangka termasuk peluru berkelompok yang biasanya ditemui dalam roket Sistem Roket Pelancaran Berganda Berpandu (GMLRS) yang ditembak oleh pelancar HIMARS.

Pemberitahuan rasmi kepada Kongres mengenai pakej senjata itu dijangka dibuat Isnin ini.

Kandungan dan saiz pakej boleh berubah dalam beberapa hari akan datang menjelang pengunduran Biden.

Ia menandakan peningkatan ketara saiz bantuan senjata berbanding kebenaran digunakan Biden baru-baru ini dipanggil Presidential Drawdown Authority (PDA) yang membolehkan AS menggunakan stok senjata semasa untuk membantu sekutu dalam kecemasan.

Pengumuman PDA terkini biasanya sekitar AS$125 juta (RM555 juta) hingga AS$250 juta (RM1.1 billion). 

Biden mempunyai anggaran AS$4 billion (RM17.77 billion) hingga AS$5 billion (RM22 billion) dalam PDA yang telah diberi kuasa oleh Kongres dan dijangka digunakannya sebelum Presiden terpilih, Donald Trump mengambil alih Rumah Putih.

AS tidak mengeksport periuk api darat dalam beberapa dekad dan penggunaannya menjadi kontroversi kerana potensi mencetus bahaya kepada orang awam.

Walaupun lebih 160 negara telah menandatangani perjanjian yang melarang penggunaannya, Kyiv tetap mahukannya sejak Russia melancarkan pencerobohan pada awal 2022.

Menurut penganalisis dan penulis blog perang minggu ini, tentera Russia kini semakin mara pada kadar terpantas di Ukraine sejak hari-hari awal pencerobohan 2022, mengambil kawasan separuh saiz London sejak sebulan lalu.

AS menjangkakan Ukraine menggunakan periuk api darat di wilayahnya, walaupun ia komited untuk tidak menggunakannya di kawasan yang dihuni oleh orang awamnya sendiri.

Trump pada hari Rabu memilih Keith Kellogg, seorang leftenan jeneral bersara yang membentangkan rancangan menamatkan perang di Ukraine, untuk berkhidmat sebagai utusan khas bagi konflik itu.

Mengakhiri perang Ukraine dengan cepat adalah salah satu janji kempen utama Trump, walaupun beliau mengelak membincangkan langkah yang akan diambil untuk melaksanakannnya.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya