AS gantung penerbangan awam ke Haiti - Utusan Malaysia

AS gantung penerbangan awam ke Haiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT-AU-PRINCE: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penggantungan semua penerbangan awam ke Haiti selama sebulan, sehari selepas sebuah pesawat komersial ditembak ketika menghampiri ibu negara.

Langkah itu dibuat oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS, selepas pesawat Spirit Airlines dari Florida menuju Port-au-Prince ditembak dan terpaksa melencong ke Republik Dominican.

Pada Selasa, Haiti terputus hubungan dengan dunia luar apabila lapangan terbang utama ditutup dan bunyi tembakan kedengaran di beberapa kawasan di ibu kota.

Dalam insiden tembakan ke atas pesawat Spirit Airlines itu, seorang pramugari mengalami kecederaan ringan.

Gambar yang tular dalam media sosial menunjukkan beberapa lubang peluru dalam pesawat tersebut.

Perdana Menteri baharu, Alix Didier Fils-Aime mengangkat sumpah menggantikan Garry Conille yang meletak jawatan susulan perselisihan kuasa dengan majlis peralihan yang tidak dipilih di negara itu.

Majlis peralihan, yang bertujuan membuka laluan bagi Pilihan Raya pada 2026, diamanahkan untuk menstabilkan negara yang tidak mempunyai Presiden atau Parlimen dan kali terakhir mengadakan pilihan raya pada 2016.

Haiti tidak mempunyai Presiden sejak pembunuhan Jovenel Moise pada 2021.

Negara Caribbean itu sekian lama bergelut dengan ketidakstabilan politik, kemiskinan, bencana alam dan keganasan gangster.

Namun, keadaan semakin meruncing pada penghujung Februari apabila kumpulan bersenjata melancarkan serangan terkoordinasi di ibu kota dengan tujuan menggulingkan Perdana Menteri ketika itu, Ariel Henry.

Satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini melaporkan lebih 1,200 kematian di Haiti dari Julai hingga September, dengan penculikan dan keganasan seksual terhadap wanita serta kanak-kanak perempuan masih berterusan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya