LONDON: Manchester United mengumumkan pelantikan Ruben Amorim sebagai pengurus baharu pasukan, menggantikan Erik ten Hag yang dipecat, Isnin lalu.
Jurulatih dari Portugal berusia 39 tahun itu sebelum ini dikenali dengan kejayaan menjuarai dua gelaran Liga Primeira bersama Sporting Lisbon, menandatangani kontrak sehingga 2027 dan dijadualkan menyertai kelab pada 11 November ini.
“Manchester United dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih pasukan lelaki utama, tertakluk kepada keperluan visa kerja.
“Beliau akan bersama pasukan sehingga Jun 2027 dengan pilihan tambahan selama setahun, sebaik sahaja beliau menyelesaikan tanggungjawabnya bersama kelab semasa,” kata United dalam laman web rasmi mereka
Kelab terbabit menggambarkan Amorim sebagai salah seorang jurulatih muda yang paling menarik dan berkaliber tinggi dalam bola sepak Eropah.
Sementara menunggu ketibaan Amorim, jurulatih interim, Ruud van Nistelrooy akan terus mengendalikan pasukan.
Pelantikan ini adalah langkah penting bagi United selepas pemecatan Ten Hag pada Isnin lalu.
Ten Hag dipecat selepas kekalahan 1-2 di tangan West Ham yang menyebabkan pasukan tergelincir kedudukan ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan hanya tiga kemenangan daripada sembilan perlawanan. – AGENSI