BEAUFORT: Akibat dendam, seorang lelaki warga Filipina maut ditetak dalam kejadian di sebuah kawasan semak berhampiran Kampung Balibata di sini, semalam.
Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tertiarap di atas tanah dalam kejadian yang berlaku pada tengah malam itu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superitenden Wong Leong Meng berkata, mangsa yang lengkap berpakaian ditemukan dengan dua kesan tetakan di bahagian siku lengan kiri dan bahagian belakang leher yang dipercayai kesan tetakan oleh senjata tajam.
“Suspek dan mangsa dalam kejadian itu dipercayai warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Siasatan mendapati mangsa seorang lelaki berusia 30-an.
“Susulan itu, pihaknya melancarkan Op Tutup dan Op Kesan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kes bunuh berkenaan.
“Pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bersama sepasukan Polis dari Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah berjaya mengesan dan menangkap suspek seorang lelaki berusia 70-an di sekitar Kampung Balibata pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihak polis turut merampas senjata yang digunakan oleh suspek dalam kejadian ini. Kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam.
Jelas beliau, suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. – UTUSAN