MOSCOW: Seorang ahli perniagaan Malaysia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun berikutan terlibat skandal rasuah terburuk dalam sejarah Angkatan Laut AS.
Leonard Glenn Francis atau dikenali sebagai ‘Fat Leonard’, diperintahkan membayar pampasan sebanyak AS$20 juta (RM88.02 juta) kepada Angkatan Laut, menurut Pejabat Peguam AS di Daerah Selatan California.
Hakim Mahkamah Persekutuan di San Diego turut memerintah Francis, 60, untuk menyerahkan hasil haram berjumlah AS$35 juta (RM154 juta) yang diperoleh daripada jenayah itu.
Francis, yang mengendalikan syarikat kontrak tentera, Glenn Defence Marine Asia yang beroperasi dari Singapura, ditangkap pada 2013 atas tuduhan rasuah.
Syarikat itu memberikan berjuta-juta dolar barangan bernilai dan wang tunai kepada kakitangan Tentera Laut AS dan kakitangan komando kerana menyokongnya semasa proses pemerolehan serta menyediakan maklumat sulit.
Beliau mengaku bersalah pada 2015 kerana menawarkan rasuah kepada pegawai tentera laut untuk mengarahkan kerja ke limbungan kapalnya di pelabuhan Asia Pasifik, kemudian mengenakan caj berlebihan kepada tentera laut sehingga AS$35 juta.
Syarikatnya, yang mengikat kontrak untuk menyediakan barangan dan perkhidmatan kepada kapal Tentera Laut selama 25 tahun di pelabuhan seluruh Asia, mengaku bersalah terhadap tuduhan sama.
Pada Disember 2023, AS menandatangani perjanjian dengan Venezuela untuk membebaskan enam warganegara AS yang ditangkap di negara Amerika Latin itu dan mengekstradisi Francis yang melarikan diri ke Venezuela pada September 2022 ketika menjalani tahanan rumah.
Francis mengaku bersalah atas semua pertuduhan, termasuk cubaan melarikan diri.- AGENSI