ALOR SETAR: Selepas lulus ujian pertama dengan membawa anak-anak buahnya mengatasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 di Stadium Darul Aman kelmarin, pengendali interim Selangor FC, Abdi Hassan kini mahu memberi fokus kepada persiapan pasukan itu untuk bersaing di peringkat lebih tinggi apabila menentang Jeonbuk Hyundai Motors, Khamis depan.
Menurutnya, kemenangan yang dicatat di bumi jelapang padi sememangnya sesuatu yang menggembirakan namun masih terdapat beberapa kerja rumah yang perlu dilakukan, bagi memastikan Selangor FC dapat mencatat keputusan terbaik di Korea Selatan demi menjayakan misi untuk layak ke peringkat seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
“Kemenangan ke atas KDA FC memang amat diperlukan bagi mendapatkan impak positif setelah kami tewas kepada JDT minggu lalu. Saya gembira dengan keputusan ini namun merasa sebaliknya apabila bercakap mengenai deretan peluang yang tidak diterjemah kepada jaringan.
“Berdasarkan deretan peluang dicipta, kami sepatutnya menang lebih besar malam ini selain menghasilkan gol lebih awal untuk merencatkan semangat pemain KDA FC. Kita tahu KDA FC memiliki rangkaian serangan merbahaya dan kami perlu berhati-hati terhadap kebangkitan itu dengan menjaringkan lebih banyak gol bagi menjadikan keadaan lebih ‘selamat’.
“Kami sepatutnya menang lebih besar, setidak-tidaknya 3-0 dalam perlawanan ini. Pemain ada mengadu mengenai keadaan padang yang agak ‘berat’ tetapi apabila bercakap mengenai langkah untuk menyempurnakan peluang jaringan, itu sesuatu yang perlu diperbaiki lebih-lebih lagi dalam aksi menentang Jeonbuk, Sabtu depan,” katanya.
Dalam perlawanan itu, The Red Giant nyata mengawal aksi dari awal hingga akhir permainan namun hanya satu gol yang menjadi pemisah antara mereka dengan Sang Kenari melalui jaringan pemain gantian, Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-46.
Mengulas mengenai tindakannya mengenengahkan Faisal Halim dalam kesebelasan utama sejak tragedi hitam melanda pemain itu pada Mei lalu, Abdi berkata, bekas pemain kebangsaan itu nyata telah memainkan peranan yang sangat baik dalam membantu pasukan melaksanakan gerakan serangan pada separuh masa pertama.
“Dalam setiap sesi latihan, saya sering mendesaknya agar berusaha menewaskan lawan menerusi aksi menggelecek, bagi membentuk semula kemahiran lamanya dulu. Dia melakukannya malam ini dan berjaya menewaskan beberapa pemain menerusi aksi lincah hingga membuatkan pengadil melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR) apabila bola didakwa terkena tangan pemain lawan dalam kotak penalti.
“Bagi saya, ini merupakan satu bentuk permulaan buatnya dan dia melaksanakan tugas dengan sangat baik. Dia pemain yang bijak membuat keputusan selain memiliki kebolehan meninggalkan lawan dan saya akan terus memberi galakkan kepadanya untuk mendapatkan kembali sentuhan lamanya dulu,” katanya.
Ditanya mengenai ketiadaan penjaring terbanyak mereka, Ronnie Fernandez buat kali kedua berturut-turut, pengendali berasa dari Netherland itu memaklumkan langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi penggiliran pemain bagi menentang Jeonbuk Hyundai Motor, Sabtu ini.
“Kami memiliki program yang besar dan Khamis ini pula, kami akan menentang Jeonbuk di gelanggang lawan. Semua orang sedang dipersiapkan untuk menghadapi perlawanan itu yang mana kami memiliki misi besar dan hanya memerlukan satu mata saja lagi untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Dalam keadaan beberapa pemain dilanda kecederaan, kami perlu kreatif untuk mendepani situasi ini. Untuk perlawanan menentang KDA FC malam ini, kami tahu corak permainan mereka dan meletakkan Ali Olwan sebagai sandaran, meskipun dia tidak menjaringkan gol tetapi kami masanya akan tiba juga nanti,” katanya.-UTUSAN