PETALING JAYA: Beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah tiket ke perlawanan akhir Korea Masters 2024 selepas menumbangkan gandingan Taiwan, Chi Hsiang-Wang Chi Lin, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Iksan itu, Aaron-Wooi Yik hanya memerlukan 36 minit sahaja untuk mengatasi pasangan terbabit dalam permainan straight set, 21-17, 21-16.
Beregu No. 6 dunia itu turun selaku pilihan utama kejohanan berstatus Super 300 itu menepati ramalan untuk berentap di perlawanan final.
Bagaimanapun, pertembungan itu boleh dikatakan tidak mudah susulan Chi Lin merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 dengan Lee Yang, namun terpaksa berpasangan dengan Hsiang Chieh selepas gandingannya itu membuat keputusan untuk menggantung raket.
Aaron-Wooi Yik akan berentap di pertembungan terakhir menentang wakil tuan rumah, Ki Dong Ju-Seo Seung Jae di aksi final, esok.
Terdahulu, Dong Ju-Seung Jae mara ke final selepas menewaskan rakan senegaranya, Jin Yong-Kim Won Ho dalam permainan rubber set 21-16, 19-21, 16-21. – UTUSAN