PETALING JAYA: Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik boleh menarik nafas lega selepas berjaya melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, Disember ini.
Terdahulu, gandingan No. 5 dunia itu menerima tamparan hebat dalam pemburuan ke kejohanan itu selepas tumbang di tangan pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi suku akhir China Masters di Shenzen, semalam.
Kekalahan itu menjadikan misi mereka semakin mencabar, namun pencabar terdekat mereka dalam perebutan tiket ke Hangzhou turut tewas dalam perlawanan suku akhir semalam.
Beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang berada di ranking ke-11 Jelajah Dunia tewas kepada pasangan Korea Selatan, Jin Yong-Seo Seung Jae pada pertemuan suku akhir China Masters.
Berdasarkan keputusan semalam, kedudukan Aaron-Wooi Yik dijamin selamat dalam ranking Jelajah Dunia susulan tidak dapat dikejar oleh beregu negara lain.
Mengikut format pertandingan, hanya tujuh pasangan terbaik ranking Jelajah Dunia layak ke Hangzhou termasuk gandingan Taiwan, Wang Chi Lin-Lee Yang yang mendapat slot automatik selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.
Selain mereka, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei sudah terlebih dahulu mengesahkan tiket mereka ke Hangzhou selepas menduduki ranking keempat.
Untuk rekod, kejohanan di Hangzhou menjadi penampilan kelima buat Aaron-Wooi Yik selepas beraksi pada edisi, 2019, 2020, 2022 dan 2023. – UTUSAN