KUALA LUMPUR: Peluang beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk merangkul gelaran Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China terbuka besar selepas ketidakhadiran beberapa pasangan terbaik dunia pada pertandingan terbabit.
Perlumbaan ke Hangzhou yang berakhir minggu lalu, menyaksikan beregu No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, pasangan No. 2 dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan serta Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India gagal melayakkan diri ke kejohanan terakhir musim ini.
Bagaimanapun, Aaron enggan mendabik dada, sebaliknya berwaspada dengan ancaman daripada gandingan Indonesia Fajar Alfian-Rian Ardianto (No. 4 dunia), He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China (No. 6 dunia) pada kejohanan itu yang berlangsung pada 11 hingga 15 Disember ini.
“Tiga beregu terbaik dunia tidak akan berada di Jelajah Dunia Akhir. Saya percaya bahawa kali ada peluang untuk menang. Bagaimanapun pasangan lain juga akan memanfaatkan ketiadaan tiga pasangan berkenaan untuk merebut gelaran.
“Fajar-Rian dan Ji Ting-Xiang Yu juga dalam prestasi yang sangat baik. Kami perlu berhati-hati dengan permainan mereka untuk merebut peluang yang ada,” kata Aaron ketika ditemui pada majlis penajaan Kumpulan Affin bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), di Menara Affin, hari ini.
Turut hadir pada majlis penajaan terbabit, beregu lelaki negara, Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) serta Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam.
Kumpulan Affin yang menaja program bakat muda kebangsaan sejak Disember tahun lalu, meneruskan kerjasama mereka bersama BAM sehingga November 2027. – UTUSAN