PETALING JAYA: Polis mengenal pasti sebanyak 69 premis milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di 15 buah negara dengan anggaran nilai aset RM52.4 juta.
Premis-premis tersebut membabitkan rangkaian restoran, pasar raya dan lain-lain yang dipercayai beroperasi di Timur Tengah antaranya Turki, Arab Saudi, Asia Tenggara dan Eropah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat 31 Oktober lalu, sebanyak 40 premis di empat negara disahkan milik GISBH oleh rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di luar negara.
“Ia melibatkan anggaran nilai aset sebanyak RM52.4 juta. Bagaimanapun, di 11 lagi negara melibatkan 29 premis masih dalam tindakan pengesahan melalui rakan strategik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Razarudin berkata, sehingga kini polis telah membekukan dan menyita harta GISBH sebanyak RM23.95 juta di dalam negara.
Katanya, polis turut melakukan pembekuan aset di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613) berjumlah RM17.15 juta.
“Polis juga melakukan sitaan di bawah Seksyen 45(2) akta sama dianggarkan RM6.76 juta, iaitu 28 kenderaan pelbagai jenis dengan nilai anggaran RM4.98 juta, dua bot dan tiga enjin (RM1.3 juta), 95 ekor haiwan dengan anggaran keseluruhan RM463,820, wang tunai berjumlah RM16,850 serta dua utas jam tangan jenama Amazfit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan berkaitan GISBH masih berjalan dan polis dalam proses melengkapkan siasatan.
Katanya, terdapat beberapa individu sedang dikesan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan menahan mereka bagi melengkapkan siasatan.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 99 kertas siasatan dibuka sepanjang Op Global dilancarkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 22 kertas siasatan telah dihadapkan ke mahkamah melibatkan 82 pertuduhan pelbagai kesalahan manakala 37 kertas siasatan tiada tindakan lanjut (NFA).
“Sebanyak 28 kertas siasatan masih berada di pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan 12 lagi dalam tindakan pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Terdahulu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam.
Pengerusinya, Datuk Nooh Gadut berkata, ajaran yang dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana individu lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan termasuk yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Katanya, antara ciri penyelewengan ialah air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat. – UTUSAN