BEIRUT: Sekurang-kurangnya 15 pejuang Syria yang disokong Turkiye terbunuh selepas pasukan yang diketuai oleh pejuang Kurdish diserang di utara negara itu, menurut kumpulan pemerhati perang, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR).
Kumpulan pejuang Pasukan Demokratik Syria (SDF), yang menguasai sebahagian besar wilayah timur laut Syria, dilaporkan menyusup masuk ke kedudukan pejuang yang disokong Turkiye di kawasan pedalaman Aleppo, kata SOHR yang mempunyai rangkaian sumber di dalam Syria.
“Kedua-dua pihak terlibat dalam pertempuran sengit,” jelas kumpulan itu, yang turut melaporkan sebanyak 15 pejuang pro-Ankara terkorban dalam insiden tersebut.
Menurut koresponden AFP di utara Syria, pertempuran berlaku berhampiran bandar Al-Bab.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan sekolah-sekolah di kawasan itu akan ditutup pada Isnin berikutan keganasan yang berlaku.
SDF adalah pasukan yang disokong Amerika Syarikat dan memainkan peranan utama dalam memerangi kumpulan Daesh di kubu terakhir mereka di Syria, sebelum kekalahan Daesh pada 2019.
SDF didominasi oleh Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG), yang dianggap Ankara sebagai cabang kepada Parti Pekerja Kurdistan (PKK), kumpulan yang diharamkan dan bertanggungjawab atas serangan di Ankara baru-baru ini.
Turkiye dan kumpulan pemberontak sekutunya menguasai sebahagian besar kawasan utara Syria selepas beberapa siri serangan rentas sempadan sejak 2016, kebanyakannya menyasarkan SDF. -AGENSI