FLORES : Seramai 10,000 penduduk yang tinggal dalam radius sekitar tujuh kilometer di kaki Gunung Lewotobi Laki-Laki, Flores Timur, Nusa Tenggara Timur, ditawarkan pilihan untuk berpindah oleh Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.
Ketua BNPB, Suharyanto berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan tersebut.
“Kita pilih untuk berpindah, daripada kita mengambil risiko menghadapi bencana serupa di masa hadapan,” katanya, sambil menekankan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan utama.
Langkah penempatan semula ini dianggap sebagai salah satu langkah mitigasi jangka panjang yang penting.
Seramai 10,295 orang atau 2,734 keluarga yang terkesan adalah penduduk dari 14 desa di tiga kecamatan iaitu Ile Bura, Titehena, dan Wulanggitang, yang terjejas akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki, Isnin lalu.
Menurut analisis Badan Geologi Kementerian Tenaga Sumber Daya Mineral (ESDM), kedudukan desa-desa yang berada dalam zon bahaya kira-kira tujuh kilometer dari kawah gunung berpotensi terkena lontaran material gunung berapi serta banjir lahar sejuk pada masa hadapan.
Gunung Lewotobi Laki-Laki merupakan antara gunung berapi aktif di Nusa Tenggara Timur (NTT) dengan aktiviti vulkaniknya yang meningkat secara fluktuatif sepanjang tahun ini.
Badan Geologi Kementerian ESDM telah menaikkan status gunung ini kepada tahap awas sejak Ahad lalu, berdasarkan penilaian terhadap aktiviti dari 23 Oktober hingga 3 November lalu.
Suharyanto menjelaskan penduduk boleh memilih untuk berpindah secara sendirian ke tanah yang dimiliki di kawasan lain, dan kerajaan akan membantu membina rumah mereka, atau mengikuti sepenuhnya program penempatan semula yang disediakan oleh pihak kerajaan.
BNPB akan bekerjasama dengan Pemerintah Kabupaten Flores Timur serta kementerian dan agensi berkaitan untuk melaksanakan skema pemindahan ini demi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan. -AGENSI