PETALING JAYA: Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran mengakui sedang berusaha mempersiapkan anak buahnya, Ng Tze Yong untuk kembali beraksi ke pentas kejohanan pada 2025.
Yogendran, sebelum ini membimbing perseorangan wanita negara dan kemudiannya ditukar ke bahagian perseorangan lelaki menerusi penstrukturan semula barisan jurulatih yang dibuat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal bulan ini bagaimanapun enggan memberi tekanan kepada Tze Yong kerana bimbang risiko kecederaannya lebih teruk.
Jurulatih berusia 42 tahun itu turut memberi peluang kepada Tze Yong untuk membahagikan jadual latihannya dengan berlatih di gimnasium dan gelanggang.
“Tze Yong sudah berlatih secara konsisten. Bukan berlatih sepenuh di atas gelanggang. Konsisten bermakna dia berlatih pagi, petang setiap hari dan kita sudah buat program untuknya. Selepas berlatih di gelanggang kita sudah nampak kelemahannya di mana.
“Buat masa sekarang kita tidak mahu memberi tekanan kepadanya berlatih di gelanggang. Kita memberinya berlatih selama satu jam di gelanggang dan kita lebih menumpukan kepada kelemahannya yang dia perlu perbaiki sebelum berlatih di gelanggang sepenuhnya.
“Menurut Tze Yong, apabila anda baru pulih daripada kecederaan, tiada sesiapa yang pulih sepenuhnya. Dia masih boleh bertahan untuk bermain. Dia boleh kembali berlatih tapi bukan bermain 100 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Tze Yong sebelum ini disahkan mengalami kesakitan tulang belakang akibat kecederaan dialami pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor pada Februari.
Kecederaan yang dialami Tze Yong menyaksikan dia terlepas peluang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 di Paris. – UTUSAN