PETALING JAYA: Pemain remaja, Wang Xin Yao menjadi bintang Malaysia dalam kejohanan Golf Remaja Antarabangsa SportExcel apabila beliau muncul sebagai juara keseluruhan dalam kategori bawah 18 tahun (B-18) wanita.
Pemain berusia 16 tahun itu mencatat jumlah keseluruhan empat di atas par 220 untuk meraih gelaran selepas tiga pusingan di Tanjung Puteri Golf and Resort di Johor, Ahad lalu.
Walaupun beliau meraih gelaran keseluruhan, juara bagi kategori terbabit adalah Seo Ahreumnuri dari Korea Selatan, yang menamatkan saingan sebagai naib juara dengan skor 226 (72–77–77).
Mengikut peraturan kejohanan, kemenangan keseluruhan Xin Yao bermakna beliau tidak layak untuk hadiah juara kategori B-18, membolehkan Ahreumnuri meraih penghormatan tertinggi dalam kategori itu.
Sementara itu, kategori B-18 lelaki menyaksikan Ajalawich Anantasethakul dari Thailand menunjukkan kemahiran yang luar biasa, dengan skor 217 (72–72–73) walaupun dalam keadaan hujan yang lebat.
Persembahan luar biasa beliau menjadikannya pemain terbaik dalam kumpulan Boys A (15 hingga 18 tahun) dan B (13 hingga 14 tahun), ketika memulakan permainan dari tee biru, namun Ahn Seunghyun dari Korea Selatan meraih gelaran juara Boys A dengan skor keseluruhan 222 (71–76–75).
Ajalawich yang telah pun meraih gelaran keseluruhan, tidak layak untuk hadiah juara Boys A dan mengikut peraturan kejohanan hanya membenarkan pemain hanya mengambil satu hadiah dan Seunghyun meraih penghormatan tertinggi dalam kategori Boys A. – UTUSAN