Wujudkan polisi khas kepada pelajar genius

Wujudkan polisi khas kepada pelajar genius

DR. SALLEH AMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disarankan mewujudkan satu polisi khas yang menyediakan kerangka komprehensif untuk memastikan pelajar genius dapat menyempurnakan pengajian mereka dengan cemerlang. 

Hal ini kerana, golongan tersebut sering berhadapan dengan cabaran kegagalan yang mana salah satu puncanya adalah kerana  tekanan daripada keluarga dan persekitaran. 

Pakar Pendidikan, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, pihak universiti perlu menyediakan pendekatan pembelajaran holistik bagi membantu pelajar genius menyempurnakan pengajian mereka dengan cemerlang tanpa terjejas oleh tekanan luaran.

Menurut beliau, tujuan pembelajaran di universiti bukanlah untuk melahirkan pelajar yang cemerlang akademik semata-mata tetapi juga individu yang seimbang dari segi pembangunan sahsiah dan kemahiran sosial.

“Pelajar genius biasanya tiada masalah dari segi pencapaian akademik. Namun, pembelajaran di universiti bukan sahaja melibatkan individu tetapi juga interaksi berkumpulan serta penglibatan dengan masyarakat luar. 

“Hal ini menuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menyediakan sokongan sosial yang kukuh untuk pelajar-pelajar terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, seorang kanak-kanak genius berusia 12 tahun diterima masuk bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).

Mengulas lanjut, Salleh berkata, pakar-pakar dalam bidang psikologi, kaunseling dan pendidikan juga perlu dilibatkan untuk membimbing pelajar genius dari segi perkembangan emosi, sahsiah serta kemahiran sosial.

Katanya, pensyarah yang terlibat juga perlu bijak mengendalikan pelajar genius ini agar mereka tidak tertekan dengan kehidupan di universiti.

“Dengan adanya polisi khas yang terancang dan sokongan yang menyeluruh, pelajar genius bukan sahaja akan cemerlang dalam akademik tetapi turut berkembang sebagai individu yang seimbang dan mampu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, sistem pendidikan negara perlu memberi penekanan kepada perkembangan yang menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada satu aspek sahaja.

Katanya, pendidikan tidak seharusnya  tertumpu kepada kecerdasan intelek (IQ) sahaja tetapi turut melibatkan kecerdasan emosi (EQ) serta kerohanian (SQ).

“Pihak yang terlibat perlu merangka program yang lebih holistik dan seimbang untuk memastikan pelajar genius mendapat pendedahan yang sesuai. 

“Pelajar-pelajar ini tidak seharusnya terlalu didedahkan dengan kejayaan akademik mereka sehingga menyebabkan mereka menjadi terlalu fokus kepada pencapaian intelek semata-mata. 

“Keluarga juga perlu memainkan peranan penting dengan melayani mereka seperti pelajar biasa agar mereka tidak merasa tertekan atau terasing,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya