KUPANG: Seorang wanita di Kabupaten Alor, Nusa Tenggara Timur menyimbah minyak petrol dan membakar suaminya yang sedang tidur di rumahnya.
Insiden berlaku di Kampung Kalabahi Tengah, Selasa lalu, lapor Tribunnews.
Mangsa yang sedang nyenyak tidur lalu sedar dan terjaga, sebelum bertempiaran lari keluar rumah.
Mangsa sempat diselamatkan oleh penduduk setempat selepas api menyambar tubuhnya.
Ketua Polis Alor, Supriadi Rahman berkata, suspek juga bertindak membakar rumah yang didiami oleh mereka suami isteri.
Jelasnya, akibat tindakan itu, tiga buah rumah berdekatan termasuk tiga motosikal hangus terbakar.
“Tiada mangsa yang maut akibat tindakan itu, namun pemilik rumah mengalami kerugian lebih 600 juta rupiah.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar pelaku,” katanya.