BANGKOK: Seorang wanita maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah pusat beli-belah terkenal di tengah Bangkok, kira-kira pukul 9.30 malam, Sabtu lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian walaupun pasukan penyelamat cuba memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Timbalan Inspektor, Anucha dari Balai Polis Phahonyothin menerima laporan tentang seorang wanita yang terjatuh dari ketinggian lima tingkat di sebuah pusat beli-belah di kawasan Chom Phon, Chatuchak, Bangkok.
Pasukan Forensik, doktor dari Hospital Besar Polis, serta sukarelawan dari Yayasan Poh Teck Tung dikerah ke lokasi kejadian.
Mangsa ditemukan terbaring di kawasan bawah tanah berhampiran zon peralatan IT dan medan selera, di sebelah eskalator di tengah bangunan tersebut.
Mangsa yang memakai jaket berlengan panjang berwarna putih dan skirt berlipat coklat gelap, didapati mengalami luka pada paha kirinya.
Mangsa dikenal pasti melalui dokumen yang ditemukan sebagai wanita berusia 31 tahun yang menetap di Samsen Nai, Phaya Thai.
Siasatan awal sedang dijalankan, dengan pegawai polis mengumpul bukti di lokasi kejadian.
Kesan tapak kaki ditemukan berhampiran pagar di tingkat lima, dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang disemak untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian, menurut laporan KhaoSod.
Mayat mangsa dihantar ke Institut Forensik Hospital Besar Polis untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. -AGENSI