PUTRAJAYA : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkongsi rahsianya yang masih muat seluar sama yang dipakai sejak 40 tahun lalu.
Katanya, keadaan itu disebabkan fizikalnya yang tidak berubah dengan berat antara 60 hingga 62 kilogram, walaupun berusia 99 tahun kini.
“Berat saya tidak pernah naik dan masih muat seluar sama sejak 40 tahun lepas.
“Bayangkan berapa banyak saya boleh berjimat kerana tidak perlu selalu membeli pakaian baharu,” katanya berseloroh dalam majlis Sambutan Hari Warga Emas bersama DeAuramas di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Hadir sama isterinya, Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali dan Pengerusi DeAuramas, Datin Nazliah Hamid.
Dianggarkan seramai 60 ahli kumpulan itu hadir pada majlis minum petang berkenaan.
Dr. Mahathir turut mengingatkan warga emas supaya menjalani gaya hidup sihat dan kekal aktif.
Katanya, langkah itu penting kerana otak manusia perlu sentiasa digunakan dengan aktiviti berfikir bagi memastikan ia terus berfungsi dengan baik.
“Untuk aktif, jangan tidur atau rehat terlalu lama. Penuhi masa dengan aktiviti seperti membaca, menulis artikel, berdebat atau berkebun,” katanya yang mengakui tidak pernah berhenti bekerja sehingga ke hari ini.
Dr. Mahathir turut memberikan tip kepada hadirin untuk kelihatan muda dengan sentiasa menjaga postur tubuh dengan berdiri atau duduk secara tegak.
Negarawan itu turut meluangkan masa menyampaikan beberapa buah lagu manakala isterinya bermain biola. – UTUSAN