WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menganggap dirinya sebagai ‘bapa IVF’ dalam satu sesi town hall bersama pengundi wanita, ketika calon Presiden Republikan itu berusaha untuk meyakinkan kumpulan pengundi penting tersebut agar mempercayainya dalam isu reproduktif.
Trump, yang kini ketinggalan di belakang calon Demokrat, Kamala Harris, dalam kalangan pengundi wanita menjelang pilihan raya AS pada 5 November ini, menyatakan hasratnya untuk membincangkan isu persenyawaan in-vitro (IVF) pada acara tersebut yang dianjurkan oleh Fox News di Georgia, sebuah negeri penting yang dijangka menentukan keputusan pilihan raya.
“Saya mahu bercakap mengenai IVF. Saya bapa IVF, jadi saya mahu dengar soalan ini,” kata Trump.
Mendengar kebimbangan sesetengah wanita mengenai kemungkinan sekatan ke atas rawatan kesuburan, Trump menekankan sokongan partinya terhadap prosedur tersebut, meskipun ada segelintir ahli Republikan konservatif yang tidak bersetuju dengan persenyawaan in-vitro.
“Kami mahu persenyawaan sepenuhnya, dan Demokrat cuba menyerang kami mengenai hal ini, tetapi kami lebih mendukung IVF berbanding mereka,” kata Trump.
Isu IVF menjadi topik hangat dalam kempen pilihan raya selepas Mahkamah Agung Alabama yang konservatif memutuskan bahawa embrio adalah anak, pada Februari lalu.
Keputusan itu mencetuskan ketidakpastian mengenai cara menyimpan, mengangkut dan menggunakan embrio secara sah, menyebabkan beberapa pesakit IVF mempertimbangkan untuk memindahkan embrio beku mereka ke luar negeri.
Sementara itu, pasukan kempen Trump menggambarkan kenyataannya sebagai ‘bapa IVF’ sebagai gurauan.
“Ia hanyalah gurauan yang dibuat Presiden Trump secara berseloroh ketika beliau menjawab soalan tentang IVF dengan penuh semangat kerana beliau sangat menyokong akses meluas kepada rawatan kesuburan untuk wanita dan keluarga,” kata jurucakap, Karoline Leavitt.
Trump, yang melantik tiga hakim Mahkamah Agung dalam membuat keputusan menghapuskan perlindungan perlembagaan terhadap pengguguran ketika beliau menjadi Presiden, sebelum ini menyatakan isu tersebut sepatutnya diputuskan oleh setiap negeri.
Beliau juga menyatakan hasrat untuk menjadikan IVF percuma, walaupun belum menjelaskan secara terperinci bagaimana ia akan dilaksanakan,sekiranya beliau menang pilihan raya November nanti. -AGENSI