NEW YORK: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjalankan kempennya di Arena Madison Square, New York pada Ahad, manakala Naib Presiden AS, Kamala Harris berkempen di Philadelphia dalam tempoh seminggu sebelum rakyat AS mengundi dalam pilihan raya presiden yang sengit.
Trump mengadakan perhimpunan di arena berkapasiti hampir 20,000 tempat duduk di bandar kelahirannya yang terkenal sebagai kubu kuat parti Demokrat, menarik perhatian ramai dengan liputan meluas oleh media tempatan.
Kedua-dua calon berkempen agresif dalam pertarungan sengit ini, dengan tinjauan menunjukkan keputusan mungkin seimbang dalam undian pada 5 November nanti.
Harris, 60, dijadualkan melalui hari yang sibuk berkempen di Philadelphia, bandar terbesar di negeri penting Pennsylvania dengan lawatannya termasuk di gereja komuniti kulit hitam, kedai gunting rambut, dan restoran Puerto Rico.
Ini merupakan lawatan ke-14 beliau ke Pennsylvania sejak mengambil tempat dalam pencalonan selepas penarikan mengejut Joe Biden, Julai lalu.
Harris juga dijadualkan mengadakan perhimpunan besar di Washington pada Selasa, berhampiran White House, berhampiran kawasan Trump pernah mengapi-apikan penyokongnya sebelum mereka menyerbu bangunan Capitol dalam usaha untuk menolak keputusan pilihan raya 2020.
“Adalah sangat penting bagi rakyat Amerika untuk memikirkan siapakah yang akan menduduki White House tahun depan,” kata Harris dalam wawancara bersama CBS.
Trump pula mengadakan perhimpunan di Arena Madison Square dengan kehadiran penyokong terkenal seperti bilionair, Elon Musk, yang turut berkempen untuk bekas presiden itu.
Arena ikonik ini pernah menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara bersejarah termasuk konvensyen Presiden Demokrat dan Republikan serta konsert besar seperti The Rolling Stones, Madonna, dan U2.
Dengan lebih 40 juta undian awal telah dikira, rakyat Amerika kini membuat pilihan sama ada memilih Presiden wanita pertama negara itu atau calon yang menghadapi rekod jenayah dan juga calon tertua yang bertanding. -AGENSI