Tragedi Tak Bai: Polis giat kesan dalang

Tragedi Tak Bai: Polis giat kesan dalang sebelum had undang-undang tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Ketua Polis Negara Thailand, Kitrat Phanphet mengeluarkan arahan segera untuk mengesan semua suspek yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Tak Bai 2004, sebelum tempoh had undang-undang tamat pada 25 Oktober ini.

Jeneral Polis Kitrat memberikan perkembangan terkini mengenai usaha penangkapan, mengambil kira kekangan masa yang kritikal dengan tempoh hanya tinggal dua hari lagi.

Tujuh orang maut apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah kumpulan yang membantah di luar balai polis di Narathiwat, salah satu wilayah majoriti Islam di selatan Thailand yang dijajah lebih seabad lalu.

Selepas itu, 78 orang mati lemas akibat sesak nafas setelah ditahan dan ditindan di atas satu sama lain di belakang trak tentera Thai, dalam keadaan tertiarap dengan tangan mereka diikat ke belakang.

Tujuh suspek, termasuk Komander Wilayah Tentera Keempat ketika itu, Jeneral Pisal Wattanawongkiri; bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral Wongkot Maneerin dan bekas Komander Rejimen Infantri Ke-5, Mejar Jeneral Chalermchai Wirunpeth, didakwa oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat dalam kes yang difailkan oleh keluarga mangsa.

Selain itu, Peguam Negara turut memfailkan kes terhadap lapan suspek di Mahkamah Wilayah Pattani, semalam.

Mejar Jeneral Chalermchai merupakan antara suspek dalam kedua-dua kes itu, lapor Bangkok Post.

Kitrat berkata, lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Wilayah 9 bertujuan mempercepatkan proses penangkapan semua suspek sebelum tempoh had undang-undang tamat.

Beliau berkata, pelbagai usaha diambil termasuk mengeluarkan waran tangkap dan bekerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Interpol untuk mengeluarkan notis merah.

“Polis juga menjalankan 29 serbuan dan 180 aktiviti pemantauan untuk menghalang suspek daripada melarikan diri ke luar negara, mengikut arahan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra,” katanya.

Kitrat turut menggesa orang awam untuk segera menghubungi pihak berkuasa jika mempunyai maklumat mengenai lokasi suspek.

Siasatan mendedahkan beberapa suspek berjaya melarikan diri ke luar negara sebelum waran tangkap dikeluarkan, dan lokasi mereka masih belum diketahui.

Ditanya mengenai kemungkinan perubahan undang-undang untuk melanjutkan tempoh had masa, Kitrat menegaskan pihaknya hanya menumpukan usaha menangkap suspek dalam tempoh sedia ada dan menjauhkan polis daripada perkara politik.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya