PETALING JAYA: Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Petronas 2024 hanya tinggal dua minggu lagi dan penjualan tiket bergerak pantas dengan kebanyakan tempat duduk Grandstand di Litar Antarabangsa Sepang Petronas (SIC) laku dijual.
Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas, Azhan Shafriman Hanif berkata, tempat duduk di sektor Marc Marquez Tribune telahpun habis dijual.
SIC ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam, mengesahkan lebih 60 peratus tiket di K2 Hillstand berjaya dijual setakat ini.
“Buat masa ini, secara keseluruhan lebih 70 peratus telah dijual, memang tengah laku keras, orang ramai yang hendak mendapatkan tiket paling murah berharga RM49.90 boleh mendapatkan segera,” kata wakil SIC tersebut.
Selain tiket berharga RM49.90, peminat sukan pemotoran tempatan juga masih berpeluang untuk mendapatkan tempat duduk Main Grandstand, K1 dan juga F yang menerima sambutan amat menggalakkan.
Pada tahun ini, GP Malaysia akan turut diserikan dengan kehadiran ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin yang akan mengetuai nyanyian lagu kebangsaan ‘Negaraku’ sebelum perlumbaan bermula.
Selain itu, kehadiran pelumba Malaysia yang mendapat tiket jemputan (wildcard) turut menjadi penarik kepada peminat tempatan untuk menyaksikan GP Malaysia.
Tahun lalu, dua pelumba yang diberi tiket wildcard adalah Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar yang bersaing dalam kelas Moto2 bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda Team.
Sebuah syarikat korporat yang telahpun menyatakan persetujuan untuk menaja pelumba ‘wildcard’ negara dikhabarkan bakal membuat pengumuman dalam masa terdekat.
Sementara itu, konsert selepas perlumbaan juga dikembalikan pada GP Malaysia kali ini dengan artis antarabangsa seperti Smash Mouth dan Macklemore akan mengetuai acara hiburan tersebut.
Artis dari Indonesia iaitu kumpulan Nidji dan Feel Koplo serta penyanyi tempatan, kumpulan 6ixth Sense serta De Fam turut dijadual menyerikan konsert tersebut yang pertama kali dianjurkan selepas wabak Covid-19 melanda dunia.-UTUSAN