Tikam warga Pakistan: Suspek utama diberkas kurang 24 jam - polis

Tikam warga Pakistan: Suspek utama diberkas kurang 24 jam – polis

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki suspek utama dalam kes bunuh seorang lelaki warga Pakistan yang mati ditikam dalam kejadian di Pulau Tikus, di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di jalan Tanjong Tokong, kira-kira pukul 12.55 tengah hari, hari ini.

“Dengan tertangkapnya suspek utama ini, maka, kes pembunuhan membabitkan lelaki warga Pakistan telah berjaya diselesaikan oleh polis dalam masa kurang daripada 24 jam selepas menerima maklumat kematian,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki warga Pakistan maut selepas ditikam dipercayai dengan menggunakan pemutar skru dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam di Pulau Tikus.

Mangsa yang berusia 48 tahun sebelum itu telah dibawa oleh rakannya ke sebuah klinik swasta di Jalan Datuk Keramat untuk mendapatkan rawatan, namun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, suspek utama itu ditahan selepas polis membuat tangkapan terhadap seorang lelaki dan wanita warga tempatan serta merampas sebuah kereta di sebuah rumah di kawasan Tanjung Tokong, kira-kira pukul 12 tengah hari, hari ini.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua tangkapan itu kemudian telah membawa kepada serbuan kedua dan seterusnya penahanan suspek utama.

“Turut ditahan bersama dalam rumah tersebut adalah tiga lelaki warga tempatan yang merupakan rakan suspek bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan turut direman sebelum itu bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.

“Tiga daripada mereka telah direman selama enam hari, manakala lima lagi direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin terhadap kes tersebut dan menasihatkan masyarakat umum agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya