KUALA LUMPUR: Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani akan memeriahkan Kejohanan The Grand Dames of Golf 2024 yang akan berlangsung untuk julung kalinya pada 28 November ini di The Mines Golf Resort Club.
Kejohanan ini dibuka kepada pemain golf wanita yang berusia 50 tahun ke atas dan menjangkakan seramai 100 orang peserta akan bersaing pada pertandingan terbabit.
Pengerusi Women In Golf Charter (WIGC), Datuk Merina Gan berkata, kejohanan ini berfungsi untuk mempromosikan sukan golf dalam kalangan wanita dari semua peringkat umur.
“Kejohanan ini mahu mempromosikan wanita peringkat senior dalam sukan golf yang mana sering diabaikan dalam sukan ini.
“Kami sangat berbesar hati untuk menyediakan platform yang tidak menggalakkan persaingan, tetapi juga memupuk semangat persahabatan dalam kalangan pemain golf veteran,” kata Merina pada sidang akhbar Kejohanan The Grand Domes of Golf 2024, di sini, hari ini.
Sementara itu, pengerusi penganjur, Sharifah Khatijah berkata beliau berbesar hati untuk menganjurkan acara ini bagi pemain golf wanita peringkat veteran.
“Sangat berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia, Tunku Ampuan Negeri Sembilan dan para penaja. Kami menggalakkan pemain golf wanita berumur 50 tahun ke atas untuk mengambil peluang ini dan menyertai kami dalam kejohanan yang menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Sharifah.
Kejohanan berprestij ini menyaksikan tiga kategori yang akan dipertandingkan iaitu Gold, Diamond dan Platinum.
Untuk penyertaan kategori Gold, pemain veteran bermula 50 hingga 55 tahun manakala Diamond (60 hingga 69 tahun) serta peringkat 70 ke atas akan bermain dalam Platinum. – UTUSAN