KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) akan merombak kesebelasan utamanya dalam aksi menentang Perak di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, petang ini.
Pengendali sementara TFC, Badrul Afzan Razali berkata, rombakan itu bagi memastikan misi menamatkan kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan dapat dicapai.
Menurut Badrul Afzan, dia akan merencana strategi terbaik menentang Perak terutama di jentera serangan yang menjadi masalah utama skuad Penyu musim ini.
“Setelah tewas kepada Kedah Darul Aman (KDA), barisan jurulatih memberi fokus untuk memperkemaskan penyudah kerana itu merupakan kelemahan ketara dalam perlawanan terdahulu.
“Namun, pemain-pemain diingatkan tidak terlalu ghairah memburu jaringan sehingga boleh menambah tekanan kepada kami atau membuat kesilapan mudah sebaliknya perlu lebih bertenang.
“Saya akan membuat perubahan dalam kesebelasan utama dan berharap siapa pun diturunkan dapat memberikan aksi terbaik termasuk dari bangku simpanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tekanan kian memuncak dalam kem TFC setelah kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir dengan kekalahan terbaharu di tangan pasukan tidak bergaji, KDA, minggu lalu.
Selepas 12 perlawanan, TFC berkongi 17 mata dengan Sabah di tempat ketiga dan keempat sambil diekori rapat PDRM, Perak, Kuching City, KL City FC dan Sri Pahang yang hanya ketinggalan tiga mata.
Badrul Afzan bagaimanapun menjelaskan, motivasi anak-anak buahnya masih di tahap terbaik meskipun dilanda masalah prestasi sehingga termasuk dalam saingan Kejuaraan Kelab Asean (ACC).
“Saya yakin kami hanya memerlukan satu kemenangan sahaja untuk mengembalikan momentum dan berharap perlawanan dengan Perak menjadi titik kebangkitan skuad Penyu,” tambahnya.-UTUSAN