GAZA: Tentera Israel bertindak meletupkan rumah dan mengepung sekolah serta tempat perlindungan bagi pelarian ketika mereka menjalankan operasi di Jabalia, utara Jalur Gaza, kata penduduk dan petugas perubatan.
Petugas perubatan di Hospital Indonesia memberitahu Reuters mengenai tindakan tentera Israel menyerbu sebuah sekolah, menahan lelaki sebelum membakar fasiliti tersebut sehingga menyebabkan generator hospital terjejas dan mengakibatkan pemadaman elektrik.
Pegawai Kesihatan berkata, mereka menolak arahan tentera Israel, yang telah memulakan pencerobohan baharu di utara wilayah Palestin lebih dua minggu lalu, untuk memindahkan tiga hospital di kawasan itu atau meninggalkan pesakit tanpa pengawasan.
“Tentera sedang membakar sekolah di sebelah hospital, dan tiada siapa boleh masuk atau keluar dari hospital,” kata seorang jururawat di Hospital Indonesia yang meminta namanya dirahsiakan.
Pegawai Kesihatan Palestin melaporkan 18 orang terbunuh di Jabalia dan lapan lagi di tempat lain di Gaza akibat serangan Israel.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata, pasukannya sedang meneruskan operasi darat di seluruh Jalur Gaza dan dalam tempoh sehari yang lalu, mereka telah merobohkan infrastruktur dan terowong Hamas serta membunuh pejuang di kawasan Jabalia.
Namun, mereka tidak memberi sebarang komen mengenai situasi terkini berkaitan hospital dan kem tersebut.
Israel meningkatkan kempen di Gaza dan Lubnan selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, yang menimbulkan harapan untuk perbincangan gencatan senjata bagi menamatkan lebih setahun konflik.
Israel bertekad untuk menghapuskan Hamas yang sebelum ini menguasai Gaza, tetapi dalam proses itu telah memusnahkan sebahagian besar wilayah tersebut dan membunuh puluhan ribu orang sehingga mengakibatkan lebih 1.9 juta orang menjadi gelandangan dalam krisis kemanusiaan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pihaknya tidak dapat akses ke tiga hospital bagi membolehkan bantuan masuk ke kawasan utara Gaza sambil menyuarakan kebimbangan mengenai cara tentera Israel menjalankan operasi ketenteraan. -AGENSI