TEHERAN: Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) membunuh empat pengganas yang dipercayai terlibat dalam serangan maut terhadap polis, sehari sebelumnya di tenggara negara itu, lapor agensi berita Tasnim.
Sabtu lalu, serangan di wilayah Sistan-Baluchistan mengorbankan 10 anggota polis yang didakwa didalangi oleh kumpulan Sunni berpangkalan di Pakistan, Jaish Al-Adl atau ‘Tentera Keadilan’.
Sebagai tindak balas, Pasukan Pengawal Revolusi Iran yang disokong oleh pasukan perisikan dan polis pada Ahad, berjaya membunuh sekurang-kurangnya empat ‘pengganas’ yang disyaki terlibat dalam serangan menggunakan dron, menurut laporan Tasnim yang memetik kenyataan pihak Pengawal Revolusi.
“Semasa operasi ini, seramai empat pengganas terbunuh, beberapa lagi cedera dan melarikan diri, manakala empat lagi berjaya ditahan,” menurut laporan itu.
Agensi berita rasmi IRNA, memetik kenyataan polis, melaporkan kematian 10 anggota dalam dua unit peronda menerusi satu serangan hendap.
Sistan-Baluchistan, yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, merupakan antara wilayah termiskin di Iran.
Serangan Sabtu lalu, merupakan antara serangan yang paling maut di kawasan itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Awal Oktober lalu, sekurang-kurangnya enam orang, termasuk anggota polis, terbunuh dalam dua serangan berasingan di wilayah tersebut.
Jaish Al-Adl mengaku bertanggungjawab atas kedua-dua serangan itu menerusi mesej dalam Telegram.
Ditubuhkan pada 2012 oleh kumpulan pemisah Baluch, Jaish Al-Adl dianggap sebagai ‘organisasi pengganas’ oleh Iran dan Amerika Syarikat. – AGENSI