Suami isteri etnik Rohingya didakwa pecah rumah, simpan barang curi

Suami isteri etnik Rohingya didakwa pecah rumah, simpan barang curi

DUA daripada empat suspek warga Rohingya didakwa terlibat dalam kes pecah rumah dan menyimpan barang curi di Mahkamah Majistret Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pasangan suami isteri etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini masing-masing atas 13 dan 11 pertuduhan melibatkan jenayah pecah rumah dan menyimpan barang curi.

Walau bagaimanapun, Norjahan Ismail, 34, dan Muhammad Ibrahim Md. Yusof, 24, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibaca secara berasingan di hadapan Majistret, Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norjahan didakwa atas 13 pertuduhan melakukan pecah rumah dan menyimpan harta curi melibatkan wang tunai dan barangan kemas di sekitar Kota Tinggi dan Mersing antara Mac hingga September lalu.

Muhammad Ibrahim pula didakwa atas 11 pertuduhan melakukan pecah rumah dan menyimpan harta curi melibatkan wang tunai dan barangan kemas di sekitar Kota Tinggi tempoh masa sama.

Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, jika kesalahan.

Di mahkamah sama, tiga anak perempuan Norjahan yang kesemuanya masih di bawah umur serta seorang menantunya, Mohamad Jamal, 19, yang juga etnik Rohingya, berdepan satu pertuduhan, masing-masing kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Jamal serta tiga remaja perempuan berusia 13, 14 dan 17 tahun itu, didakwa berada dalam negara tanpa memiliki pas perjalanan sah pada pukul 1 petang, 25 September lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, L. Mehnagha.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 14 November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya