KUALA LUMPUR: Kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin menyatakan bahawa skuad Selangor akan terus memberi sokongan yang padu kepada pengendali mereka, Nidzam Jamil.
Jurulatih berusia 44 tahun berkenaan kini dibelenggu tekanan yang tinggi oleh peminat Selangor berikutan kekalahan 3-0 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri pada aksi Liga Super, Ahad lalu.
Safuwan berkata, Nidzam sudah melaksanakan tanggungjawabnya yang sangat hebat sejak menggantikan Tan Cheng Hoe, serta menegaskan Selangor tekad akan bangkit semula dari kekalahan kepada pasukan yang menjadi pendahulu liga ketika ini.
“Kami sudah beraksi dengan baik musim ini, namun kami perlu cuba untuk melupakan perlawanan Johor. Saya sangat menghormati beliau (Nidzam). Secara peribadi, saya rasa dia sudah melakukan tugas yang luar biasa sejak Chen Hoe pergi.
“Saya tahu ianya sukar baginya (kekalahan kepada JDT). Saya tahu peminat telah bercakap mengenainya, tetapi saya menghormatinya kerana bukan mudah bagi seorang jurulatih tempatan untuk datang dan menggalas tugas di Selangor.
“Saya rasa pemain benar-benar menyukainya, tidak kira bagaimanapun, kami akan sokong beliau hingga pada akhirnya,” kata Safuwan ketika ditemui di majlis pelancaran kasut jenama antarabangsa, di sebuah pusat membeli belah di ibu kota, semalam.
Semalam, Safuwan bersama rakan sepasukannya Syahir Bashar serta pemain Bunga Raya Damansara FC, Raja Imran Shah turut menghadiri bagi menyempurnakan majlis berkenaan.
Selangor yang berada di tangga kedua liga sudah kehilangan lima mata daripada dua perlawanan terakhir dan perlu bangkit semula dalam pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabtu ini. – UTUSAN