SINGAPURA: Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) menerbangkan jet F-15SG susulan ancaman bom yang diterima melibatkan pesawat Air India Express, semalam.
Syarikat penerbangan itu menerima e-mel mendakwa terdapat bom di dalam pesawat yang berlepas dari India yang dalam perjalanan ke Singapura, menurut Menteri Pertahanan, Dr. Ng Eng Hen, menerusi hantaran dalam Facebook.
Dua jet F-15SG mengiringi pesawat tersebut menjauhi kawasan berpenduduk, sebelum ia mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Changi, kira-kira pukul 10.04 malam, lebih sejam selepas jadual asal ketibaannya.
“Sistem Pertahanan Udara Berasaskan Darat serta Pasukan Pelupusan Bahan Letupan turut diaktifkan. Setelah pesawat mendarat, ia diserahkan kepada Polis Lapangan Terbang,” kata Dr. Ng, sambil menambah siasatan sedang dijalankan.
Sementara itu, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai ancaman bom tersebut kira-kira pukul 8.25 malam.
“Pesawat mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Changi pada kira-kira pukul 10.04 malam, diiringi oleh pesawat pejuang RSAF,” menurut kenyataan SPF.
SPF turut menegaskan pihaknya mengambil serius terhadap ancaman keselamatan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang sengaja menimbulkan kebimbangan awam.
Air India Express, sebuah subsidiari milik penuh Air India dan sebahagian daripada kumpulan Tata, merupakan pengendali penerbangan AXB684 yang berlepas dari Madurai pada kira-kira pukul 1.54 petang dan dijadualkan mendarat di Singapura pada kira-kira pukul 8.50 malam, menurut laman web penjejakan penerbangan Flightradar24.
Sebelum ini, media India melaporkan satu penerbangan Air India Express dari Ayodhya ke Bengaluru turut menerima ancaman bom palsu pada Selasa, manakala satu penerbangan Air India dari New Delhi ke Chicago terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Kanada selepas ancaman keselamatan dipos dalam talian.
Ancaman palsu yang serupa turut diterima oleh syarikat penerbangan kos rendah IndiGo untuk dua penerbangan dari Mumbai pada Isnin, menurut laporan media di India. -AGENSI