BEIRUT : Sekurang-kurangnya 21 orang maut dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Dalam kejadian di Haret Saida, berhampiran bandar pelabuhan Sidon, seramai sembilan orang terbunuh dan 38 yang lain cedera.
Di perkampungan Ain Baal, tujuh lagi, termasuk seorang jururawat dan tiga penyelamat, terkorban, manakala lima orang terbunuh di Burj Al-Shemali.
Bangunan-bangunan berhampiran turut mengalami kerosakan dan tentera Lubnan telah menutup akses ke kawasan itu yang kini sesak dengan penduduk yang melarikan diri dari bahagian lain di selatan Lubnan, sejak Israel melancarkan serangan terhadap Hezbollah, September lalu.
Menurut wartawan AFP, tiada amaran dikeluarkan untuk mengosongkan kawasan tersebut sebelum serangan dilancarkan oleh Israel.
Di Ain Baal, mangsa yang terkorban termasuk tiga anggota penyelamat yang sedang bertugas di sebuah pusat di bawah pengurusan Al-Rissala Association, sebuah badan amal yang merupakan sekutu Hezbollah.
Seorang jururawat dan tiga orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian turut terkorban, menurut Kementerian Kesihatan.
Serangan dron Israel di Burj Al-Shemali pula berlaku berhampiran sebuah sekolah kendalian Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), menurut ketua perbandaran yang dipetik agensi berita ANI.
Bagaimanapun, jurucakap UNRWA menyatakan sekolah itu tidak terkena serangan secara langsung dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan di premis tersebut.
Menurut catatan AFP berdasarkan angka kementerian kesihatan, sekurang-kurangnya 1,620 orang terkorban sejak konflik bermula pada 23 September lalu. -AGENSI