TAIPEI: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 73 yang lain cedera akibat Ribut Tropika Kong-rey yang melanda di pulau itu, hari ini.
Mangsa yang maut ialah seorang wanita berusia 56 tahun akibat pokok tumbang menghempap kenderaannya di daerah tengah Nantou.
Terdahulu, semua operasi perniagaan di bandar dan daerah di Taiwan ditutup operasi hari ini, akibat ancaman ribut tropika Kong-rey.
Susulan itu, semua pasaran kewangan ditutup dan penerbangan domestik dibatalkan.
Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan, ribut itu diramalkan melanda kawasan pergunungan dan pantai timur yang kurang penduduk sekitar waktu tengah hari ini.
Ribut itu akan membawa angin kencang dan hujan lebat yang boleh menjejaskan hampir kesemua kawasan pulau itu.
Kementerian Pertahanan berkata, pihaknya mengerahkan 36,000 tentera bersiap sedia bagi membantu usaha menyelamat, manakala, 4,500 orang dipindahkan lebih awal dari kawasan berisiko tinggi. -AFP