Selepas hampir sebulan banjir di Kedah belum berakhir

Selepas hampir sebulan banjir di Kedah belum berakhir

PENDUDUK di beberapa daerah Kubang Pasu meredah air banjir yang masih berlarutan sehingga kini ekoran hujan lebat dan air pasang besar ketika peralihan monsun. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Beberapa daerah di negeri ini yang dilanda banjir sejak 16 September lalu masih berlarutan ekoran faktor hujan lebat dan air pasang besar ketika peralihan monsun.

Malah, terdapat beberapa daerah dinaiki air lebih awal seperti Langkawi pada penghu­jung Ogos lalu, namun tiada pu­sat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan selepas air kembali surut tidak lama kemudian.

Dalam tempoh 23 hari ini, ada kawasan yang sudah dua tiga kali penduduknya berdepan ban­jir berulang sehingga memaksa mereka keluar masuk PPS.

Permulaan banjir yang lama di Kedah ketika ini bermula di Kubang Pasu apabila seramai 53 mangsa pertama daripada 15 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau ekoran Kampung Padang Panjang, Kampung Sampang dan Kampung Lubuk Ipoh dinaiki air.

Bencana itu kemudian merebak ke daerah Pokok Sena, Pendang dan Kulim sehari kemudian sebelum daerah Kuala Muda dan Kota Setar turut mengaktifkan PPS ekoran banjir me­landa beberapa kampung di situ.

Jumlah paling tinggi merekodkan mangsa banjir di Kedah pada satu masa yang sama adalah pada 22 September apabila sebanyak 8,943 orang daripada 2,746 keluarga terjejas di Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Pokok Sena dan Bandar Baharu.

Dua hari kemudian, keadaan semakin pulih apabila sebahagian besar mangsa dibenarkan pulang secara berperingkat, tetapi penurunan itu tidak lama apabila peningkatan mangsa kembali dicatatkan di Pokok Sena ekoran limpahan air dari Padang Terap yang dilanda banjir kilat pada 27 September.

Pada 30 September, mangsa banjir di Kedah kembali mencatatkan peningkatan drastik selama tiga hari sebelum kembali pulih apabila PPS terakhir di Kota Setar ditutup secara rasmi pada Khamis minggu lalu.

Namun tidak sampai 24 jam, Baling pula membuka tujuh PPS sejak pukul 8 malam hari sama apabila empat mukim dinaiki air di daerah itu. Belum berakhir bencana di situ, Pendang yang sebelum ini berdepan banjir termenung sekali lagi dinaiki air dua hari kemudian.

Sementara itu, Pengarah Ja­batan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, data terkini sehingga pukul 1 tengah semalam menunjukkan, seramai 492 mangsa daripada 145 keluarga berada di empat PPS di Kubang Pasu dan Pendang.

“Manakala dua lagi daerah iaitu Baling dan Kota Setar yang sebelum ini sudah pulih akan kembali mengaktifkan PPS ma­sing-masing setelah beberapa kawasan di kedua-dua daerah itu dinaiki air semula,” ujarnya.

“Setakat ini proses pendaftaran mangsa di empat PPS di Baling dan tiga di Kota Setar sedang dilakukan oleh kakitangan JKM di lokasi menjadikan keseluruhan 11 PPS yang masih aktif di Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Meteorologi Malaysia Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, banjir yang melanda semula beberapa daerah di negeri ini bukan gelombang kedua atau ketiga bencana itu sebaliknya berkemungkinan disebabkan taburan hujan tinggi di kawasan terlibat.

Beliau berkata, lebih banyak insiden banjir kilat dan angin kencang diramalkan berlaku dalam tempoh peralihan monsun bermula 24 September lalu sehingga awal November depan.

“Peralihan monsun ini yang diramalkan berlaku di pantai barat termasuk Kedah akan membawa taburan hujan tinggi pada sebelah lewat petang dan malam. Ia berpotensi membawa banjir kilat dan ribut petir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya