Saya ibarat dilahirkan semula - Zarina Anjoulie

Saya ibarat dilahirkan semula – Zarina Anjoulie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HEBAT kecaman yang diterima aktres cantik, Zarina Anjoulie Lavocah, selepas membuat pengakuan mengenai pembedahan hidung yang dilakukannya di Vietnam. Bertubi-tubi hentaman diterima pelakon yang mesra disapa Anju ini, sehingga ada yang menuduh dia mengajak orang berbuat dosa. 

Tapi terkesankah seorang Anju? Yang sedari dulu kalis kejian, pernah ibarat tidak pernah terguris dengan kata-kata nista dan penghinaan. Ketika bertemu Anju baru-baru ini, pelakon berusia 38 tahun ini berbagi perasaan. Katanya, dia berlapang dada, teguran yang baik diambil, yang buruk dibuang. 

“Macam-macam orang cakap pasal hidung saya, sengetlah, bulat dihujunglah. Tapi lepas buat pembedahan, dikatakan macam Pinocchio pula. 

“Apa pun, saya gembira dengan hidung saya sekarang. Sebagai seorang wanita, saya memang tak pernah rasa puas. Sentiasa mahu nampak lebih cantik. 

“Saya buat hidung secara percuma, dan dibayar pula oleh klinik berkenaan. Kalau tiada bayaran, memang tidaklah saya tadah hidung di sana. 

“Apa pun, orang tetap akan bercakap tentang saya. Buat pembedahan atau pun tidak, tetap kena kecam. Tapi tak mengapalah, saya gembira dengan hasil pembedahan yang saya lakukan. Dan sekarang masanya saya kongsikan, kalau nak buat pembedahan, buatlah dengan doktor yang betul dan bertauliah,” katanya kepada Pancaindera . 

Berkongsi lanjut, ibu seorang cahaya mata ini memaklumkan pembedahan itu, yang kosnya bernilai sekitar lebih RM12,000 ditawarkan kepadanya secara percuma atas nama selebriti yang dipegangnya. 

“Prosedurnya tidaklah lama, dan tidak juga menyakitkan. Proses jahitan juga hanya terasa seperti gigitan semut. 

“Cuma saya kurang berpuas hati dengan cara kerja kakitangan di klinik berkenaan yang pada saya agak kasar. Disebabkan itu saya hanya muat naik video proses pembedahan tanpa menyebut nama klinik berkenaan,” katanya. 

Bukan mudah untuk menjadi Zarina Anjoulie Lavocah. Ada sahaja persepsi-persepsi negatif yang menyinggah meskipun yang dipaparkan adalah perkara yang baik-baik. 

“Contoh, bila kurus dikatakan bedah. Ya, saya pernah telan belon untuk kurus, tapi itu tiga tahun lepas. Lepas itu saya gemuk balik. 

“Sekarang saya kurus sebab pemakanan dan senaman. Setiap awal pagi saya berlari, sediakan makanan sihat sebelum bersenam, minum jus untuk kurus. 

“Orang nampak usaha saya, tetapi mereka sengaja nak cari keburukan. Sampaikan anda yang menganggap saya beli makanan sihat hanya untuk rakam dan muat naik di media sosial dan kemudian, buang. 

“Orang ingat saya berlakon, tapi hakikatnya memang saya bersusah payah untuk dapatkan penampilan yang saya mahukan sekarang,” kongsinya.

INTAI TITIK KEBAHAGIAAN

DALAM pertemuan saya dengannya, Anju teruja memaklumkan hatinya sudah kembali dimiliki. Namun identiti jejaka mahu dia rahsiakan. 

Tidak pernah sekalipun dia berkongsi di media sosial gerangan pemilik cinta wanita berdarah kacukan Melayu Inggeris ini. Rahsia itu disimpannya terlalu rapi. 

“Ya, hati saya sudah dimiliki. Tapi kali ini saya putuskan untuk tidak berkongsi identitinya ataupun kebahagiaan kami di media sosial. 

“Cukup orang tahu lelaki itu adalah bekas teman istimewa saya, seorang yang lama saya kenali dan sekarang hubungan kami bertaut semula. 

“Bukan mahu meninggi diri atau apa. Tapi biarlah orang tahu yang saya sudah bersama seseorang dan tidak lagi solo,” katanya. 

Kata Anju harapannya terhadap percintaan yang terjalin dengan jejaka misteri tersebut adalah agar ia menjadi hubungan terakhir dalam hidupnya. Katanya, tiada yang diinginkan, selain kebahagiaan berpanjangan dan memiliki keluarga harmoni dan sempurna. 

“Ini adalah percintaan terakhir saya. Kalau tidak menjadi juga, tak mengapalah. Asalkan rezeki tidak putus. Alhamdulillah. 

“Tetapi, saya tidak akan berkahwin semata-mata untuk kebahagiaan saya sahaja. Saya tak akan teruskan hubungan ini kalau anak saya, Awangku Gabriel Martin Ezra tak gembira. 

“Dia segala-galanya untuk saya. Itulah syarat yang saya letakkan sekiranya saya mahu kembali berumah tangga. Suami kena serasi dengan anak saya, bukan dengan saya sahaja,” kongsinya.

KEMUNCULAN SEMULA

CERITA-CERITA sensasi dan kontroversi yang menghinggapi kehidupan Zarina membuatkan ramai lupa bahawa dia pelakon yang berbakat. 

Pelakon cantik ini sedar, dia tidak boleh berterusan mensia-siakan kebolehan yang dikurnia Tuhan, justeru dia bertekad untuk kembali menyinar sebagai aktres. 

“Tahun ini, saya mahu buat kemunculan semula. Insya-Allah saya akan mulakan penggambaran drama terbaru saya yang berjudul Curang Tanpa Niat. 

“Sebenarnya, sebelum ini banyak tawaran yang terpaksa saya tolak disebabkan banyak kekangan. Tetapi kali ini saya sudah bersedia untuk kembali ke dalam dunia lakonan secara aktif, mengatur masa saya sebaiknya agar saya boleh ikut penggambaran,” kongsinya. 

Disoal sama ada dia masih ditawarkan berlakon kerana bakat atau popularitinya, Zarina sendiri tercari-cari jawapan kepada persoalan itu. 

“Saya juga tidak berapa pasti kenapa saya masih terima tawaran berlakon. Tetapi yang saya pasti, saya memang seorang yang boleh berlakon. 

“Apa pun saya sangat bersyukur dan terharu kerana masih ada pihak yang percaya bakat saya justeru panggil saya berlakon. Saya amat menghargai peluang yang diberikan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN