RHB LEKAS Highway Ride 2024 catat sejarah dalam Malaysia Book of Record

RHB LEKAS Highway Ride 2024 catat sejarah dalam Malaysia Book of Record

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad (empat dari kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records menerusi penganjuran RHB LEKAS Highway Ride 2024 edisi kesembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 6,300 pelumba basikal dari 30 negara memeriahkan RHB LEKAS Highway Ride 2024 edisi kesembilan yang berlangsung di Plaza Tol Kajang Selatan, semalam.

Penganjuran edisi kali ini berjaya mencipta dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records iaitu pertama, penyertaan terbesar dalam perlumbaan berbasikal pada waktu malam di lebuhraya dan kedua, jarak terpanjang perlumbaan berbasikal malam di lebuhraya iaitu sejauh 105 kilometer (km).

Wakil Malaysia Book of Records telah menyampaikan sijil pengiktirafan itu kepada Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif LEKAS, Wan Salwani Wan Yusoff.

RHB LEKAS Highway Ride 2024 adalah hasil kerjasama antara RHB Banking Group dan Lebuhraya Kajang Seremban Sdn Bhd (LEKAS) serta anak syarikat IJM Corporation Berhad.

Mohd Rashid berkata pihaknya cukup teruja menyaksikan sambutan hangat diterima oleh setiap peserta yang bersemangat untuk berkayuh meskipun dalam keadaan hujan.

“Kami sangat gembira dengan kehadiran luar biasa pada edisi kali ini. Ia adalah bukti komitmen kami untuk menggalakkan pembabitan semua pihak mengamalkan gaya hidup aktif.

“Kami sangat teruja melihat komuniti berbasikal berkembang setiap tahun. Ini bukan kali pertama kita berdepan situasi hujan seperti ini. Pernah juga beberapa kali kita menganjurkan acara ini dalam keadaan hujan tetapi masih dapat berjalan dengan lancar.

“Saya percaya semua pihak akan menanti-nantikan penganjuran edisi ke-10. Jika diperhatikan sepanjang sembilan edisi setakat ini, setiap tahun ada perubahan dan penambahbaikan. Apa yang penting bagi kami adalah soal keselamatan adalah perkara paling menjadi keutamaan,” kata Rashid.

RHB LEKAS Highway Ride 2024 menawarkan pelbagai kategori untuk memenuhi keperluan peminat sukan berbasikal untuk semua peringkat dan usia.

Ia termasuk kategori kompetitif 105km serta 78km manakala kategori Fun Ride sejauh 17km dan 12km memberi peluang kepada pendatang baru, keluarga dan pelumba basikal muda untuk merasai keseronokan berbasikal di lebuh raya pada waktu malam dalam suasana yang lebih santai.

“RHB LEKAS Highway Ride bukan sekadar acara berbasikal, ia adalah perayaan perpaduan, kepelbagaian dan semangat komuniti. Dengan lebih 6,300 pelumba basikal dari pelbagai latar belakang, acara yang mencipta dua rekod tahun ini mencerminkan komitmen kami dalam mempromosikan gaya hidup sihat.

“Sebagai penaja tempat acara, kami memastikan lebuh raya ditutup sepenuhnya dengan pencahayaan lampu LED untuk kayuhan di sebelah malam yang selamat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya