PETALING JAYA: Pembentangan Belanjawan 2025 petang ini akan dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor.
Ia mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya belanjawan dipengerusikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands memaklumkan diberi tanggungjawab mempengerusikan majlis pembentangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan pada 4 petang ini.
Sebelum ini ia lazimnya dipengerusikan Speaker.
“Ini sejarah buat saya sebagai bekas pegawai polis bersara dan berketurunan masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia khususnya sebagai anak Pahang.
“Doakan semoga berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Belanjawan 2025 bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan Perpaduan ditadbir Anwar.
Belanjawan ini adalah terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN