PN jiwa besar, matang sokong RUU pindaan Perlembagaan

PN jiwa besar, matang sokong RUU pindaan Perlembagaan

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sokongan Perikatan Nasional (PN) terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan memperlihatkan sikap jiwa besar dan kematangan dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, malah keputusan itu membuktikan PN mengamalkan budaya politik yang bertanggungjawab, matang serta berkredibel dalam mempertahankan kepentingan negara.

Pada masa sama katanya, sokongan itu adalah bertepatan dengan manifesto PN untuk memberikan hak kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara di mana ibunya adalah seorang warganegara.

“Namun begitu, beberapa teguran membina telah disuarakan oleh ramai ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional bagi memastikan mekanisme kawalan dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin oleh kerajaan.

“Sikap ini jelas memperlihatkan Perikatan Nasional bukan sekadar pembangkang tetapi matang dan berjiwa besar dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat menempa sejarah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan.

Pindaan itu penting susulan pelbagai isu membabitkan pemohon yang mahu mendaftar kewarganegaraan terpaksa menunggu lama, malah ada yang sehingga puluhan tahun berikutan halangan dan kekangan beberapa peruntukan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

Kelulusan RUU pindaan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas diadakan undian belah bahagian, dengan 206 Ahli Parlimen setuju, seorang tidak setuju, 14 tidak hadir, sementara seorang lagi tidak hadir kerana digantung.

Dalam pada itu, kata Hamzah, kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi yang diberikan oleh mana-mana negara.
Katanya, sudah tentu dasar pemberian taraf kewarganegaraan perlu dibuat secara ketat, teliti serta cermat demi memelihara kedaulatan Malaysia.

“Semalam, PN menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan selepas berpuas hati dengan beberapa pindaan, sekali gus menepati kehendak Majlis Raja-Raja khususnya melibatkan mekanisme kawalan yang diperketatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya