Pengurus rugi RM124,000 sertai pelaburan dalam Facebook

Pengurus rugi RM124,000 sertai pelaburan dalam Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang pengurus kerugian RM124,000 selepas tertipu dalam pelaburan L-Trader yang disertai di aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kes pelaburan tidak wujud itu semalam melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.

“Mangsa kerugian RM124,000 selepas melakukan 21 transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun penerima berbeza.

“Kes bermula pada Mei 2024 di mana mangsa telah melihat satu iklan skim pelaburan tidak wujud dikenali sebagai L-Trader di aplikasi Facebook. Skim pelaburan ini menawarkan keuntungan yang lumayan sehingga mencecah jutaan ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, modus operandi sindiket skim pelaburan itu adalah mangsa diberikan satu ID bagi membolehkan mangsa memantau sendiri status serta pulangan pelaburan melalui aplikasi atas nama L-Trader.

Menurutnya, dengan cara itu mangsa berasa yakin dengan skim pelaburan tersebut kerana mangsa dapat memantau sendiri status pelaburannya.

Yusof berkata, mangsa pada awalnya telah mendapat keuntungan hasil menyertai skim pelaburan ini sebanyak RM55,000 namun selepas itu, mangsa telah diyakinkan untuk membuat penambahan pelaburan sehingga jumlah pelaburan mencapai RM124,000.

Susulan itu, tambah beliau, semalam mangsa telah membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu apabila gagal mengeluarkan wang hasil keuntungan di dalam aplikasi L-Trader berjumlah RM9 juta.

“Polis telah menyiasat kes ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis Daerah Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang tidak sah atau tidak berdaftar serta tidak terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan yang sangat lumayan dalam masa yang singkat.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial terkini dengan mengikuti laman sosial rasmi jabatan siasatan jenayah komersial seperti Facebook, Instagram dan Tiktok.

“Orang ramai juga diseru untuk menyemak nombor akaun sebelum melakukan sebarang transaksi kepada orang tidak dikenali melalui perkhidmatan semak mule yang tersedia di dalam talian serta memuat turun aplikasi whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya lagi.

Yusof berkata, sekiranya menjadi mangsa penipuan, mangsa boleh hubungi National Scam Respone Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang keluar dari akaun suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya