Pengarah mengaku tak bersalah tubuh syarikat lain tanpa kebenaran

Pengarah mengaku tak bersalah tubuh syarikat lain tanpa kebenaran

TAN Chong Hee (dua dari kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pengarah syarikat berasaskan kayu mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan menubuhkan sebuah entiti perniagaan bagi manfaat sendiri tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat.

Tertuduh, Tan Chong Hee, 50, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh seorang jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Pengarah Syarikat Kualiti Ayu Sdn Bhd dan Kilang Papan Seong Eng Sdn. Bhd. tanpa persetujuan mesyuarat agung syarikat tersebut telah terlibat dalam suatu perniagaan yang bersaing dengan syarikat yang sama.

Hal ini demikian kerana, tertuduh telah menubuhkan satu syarikat lain iaitu Syarikat Nicenco Resources Sdn. Bhd. bagi mendapatkan secara langsung atau tidak langsung sesuatu manfaat bagi dirinya melalui hasil penjualan kayu-kayan yang berjumlah RM377,990.85.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah lot di Kampung Selamat, Tasek Gelugor antara 2 November 2020 sehingga 29 Mac 2021.

Atas kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 218(1)(e) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak lebih RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh pula hadir diwakili peguam, C. Hari Prassaad Rao.

Terdahulu, Hari Prassaad dalam rayuannya meminta mahkamah supaya memberikan jaminan rendah kepada anak guamnya kerana pengadu dalam kes tersebut dikatakan telah menghantar surat kepada pegawai penyiasat kes untuk menarik semula laporan kes tersebut.

Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pada masa yang sama, beliau turut menetapkan 11 November depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya