Pilihan Raya Filipina tumpu pertembungan sengit Marcos-Duterte

Pendaftaran Pilihan Raya Filipina tumpu pertembungan sengit Marcos-Duterte

RODRIGO DUTERTE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Pendaftaran bagi salah satu pilihan raya pertengahan penggal terbesar di dunia bermula di Filipina hari ini, dengan tumpuan terhadap pertarungan proksi yang dijangka sengit antara Presiden, Ferdinand Marcos Jr dan pendahulunya, Rodrigo Duterte.

Pilihan raya yang akan diadakan pada Mei 2025 itu dianggap sebagai ujian penting terhadap populariti Marcos serta peluang untuk mengukuhkan kuasa dan melantik pengganti.

Walaupun terdapat 317 kerusi Kongres dan ribuan jawatan serantau dan bandar raya dipertandingkan daripada 18,000 posisi, perhatian kini tertumpu kepada 12 kerusi di Senat, sebuah dewan berprofil tinggi yang mempunyai pengaruh besar dan biasanya dipenuhi oleh tokoh politik terkenal.

Terdapat spekulasi Duterte yang berusia 79 tahun bersama dua anak lelakinya akan bertanding dalam perlumbaan pemilihan tersebut untuk melemahkan kedudukan Marcos.

Namun bekas Presiden Filipina dan anak perempuannya, Naib Presiden Sara Duterte, belum memberikan sebarang komen.

Pilihan raya pertengahan penggal ini berlangsung selepas keruntuhan pakatan yang dahulunya kukuh antara kedua-dua keluarga yang memberi kemenangan besar kepada Marcos dalam pilihan raya 2022.

Sara Duterte yang pada mulanya menjadi calon utama untuk jawatan Presiden dalam tinjauan, memilih untuk menjadi calon Timbalan Marcos.

Namun, hubungan mereka menjadi tegang susulan perbezaan dasar, kegagalan polisi pro-China yang disokong oleh Rodrigo Duterte, serta siasatan terhadap perang dadah berdarah yang dilakukannya, selain skandal lain yang melibatkan sekutunya.

Sara Duterte meletakkan jawatan daripada kabinet susulan bajet pejabatnya dipotong sebanyak dua pertiga oleh Kongres yang diketuai sepupu presiden, selepas beliau enggan menghadiri sesi pendengaran dan menolak untuk menyemak perbelanjaannya.

Kerusi Senat boleh memberikan keluarga Duterte platform yang berpengaruh dalam politik Filipina yang berasaskan personaliti untuk mengukuhkan sokongan, mencabar undang-undang yang dicadangkan Marcos dan memulakan siasatan terhadap kerajaannya.

“Semua mata kini tertumpu untuk melihat siapa di antara mereka yang akan bertanding atau mungkin kesemua mereka,” kata Pakar Pentadbiran Awam Universiti Makati, Prof. Ederson Tapia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya