PETALING JAYA: Siri Panggung Bangsawan 2024 bakal mempersembahkan teater tradisional “Puteri Maharani” di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, dari 11 hingga 13 Oktober ini.
Siri ini merupakan anjuran Persatuan Teater Malaysia (PTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Siri pementasan ini merupakan usaha berterusan untuk memartabatkan seni persembahan bangsawan, satu kesenian tradisional Melayu yang telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Antara objektif utama penganjuran siri ini adalah untuk memastikan seni teater bangsawan terus kekal dan dikenali, selain memberikan pendedahan kepada pelajar institusi pendidikan, penggiat seni, dan pelancong.
Program ini juga merangkumi bengkel seni lakon bangsawan, pameran, dan jualan, yang secara langsung dapat menyemarakkan industri kebudayaan dan pelancongan tempatan.
Persembahan ini bertujuan untuk menghidupkan semula pementasan bangsawan dan membuka ruang kepada penggiat seni teater serta generasi baharu untuk melibatkan diri dalam seni dan budaya tempatan dan dapat menarik pelancong domestik dan antarabangsa.
“Puteri Maharani” mengisahkan Sultan Badrul Al-Zaman yang risau akan pewaris takhta negara Astanapuri, Tengku Kamar Al-Zaman, yang belum beristeri, dan cerita ini membawa penonton menyusuri perjalanan Tengku Kamar keluar dari istana untuk mencari pengalaman hidup dan cinta, yang akhirnya mempertemukannya dengan Puteri Gambus, watak utama yang memberikan nama kepada kisah ini.
Siri Panggung Bangsawan tahun ini dijangka menarik lebih 350 penonton dan melibatkan sekitar 70 tenaga produksi serta pelakon berbakat seperti Faizal Ruhaijat, Aisyah Insyirah, Mohamad Afiq Danish dan ramai lagi.
Persembahan ini diharapkan dapat memberi impak positif terhadap penggiat seni teater tempatan serta menarik minat masyarakat untuk terus menghargai seni warisan negara.
Dalam pada itu Presiden PTM, Sakrani Shamsuddin berkata, kita perlu perbanyakan pementasan bangsawan kerana persembahan seni pementasan bangsawan ini dilihat sebagai usaha pemeliharaan dan mengekalkan warisan seni negara kerana kesenian bangsawan itu sendiri telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan (Akta Warisan Kebangsaan 2005).
Beliau berkata, bangsawan merupakan kesenian rakyat yang banyak membawa elemen masyarakat masa lampau khususnya feudal dan semasa ke dunia pentas.
Tambahnya, pementasan bangsawan itu juga sarat dengan pengajaran yang boleh diterima pakai seperti menyelitkan mesej kehidupan masyarakat berbilang bangsa, adat dan budaya termasuk budi bahasa dan nilai-nilai murni.
“Menempatkan semula bangsawan dalam kalangan khalayak diharap dapat menarik minat untuk mengenali lebih dekat kesenian ini seterusnya menjadikan mereka sebagai pelapis kepada kesinambungan warisan kesenian ini.
“ Bangsawan sebagai teater tradisional dan warisan seni Melayu yang harus sentiasa disuburkan dan berakar kukuh dalam masyarakat, “ ujarnya.
Katanya lagi, perlu usaha berterusan dalam memartabatkan seni persembahan bangsawan di samping menarik minat dan memperkenalkan masyarakat terhadap teater bangsawan.
Ini kerana menurut beliau , seni pementasan bangsawan merupakan satu bentuk kesenian tradisional, usaha pemuliharaan dan menyemarakkan seni pementasan bangsawan perlu dilaksanakan dan dilestarikan oleh pihak kerajaan.
Penggiat seni teater tanah air dan secara tidak langsung akan membangunkan seni bangsawan di Malaysia dan mengembalikan kegemilangan pementasan bangsawan sebagai satu cabang seni yang popular bagi menarik pelancong domestik dan luar negeri.
”Usaha murni persatuan ini secara tidak langsung akan menjadikan persembahan bangsawan dapat dipentaskan secara berterusan agar seni teater bangsawan akan terus menjadi warisan negara, hak milik Malaysia, “ katanya lagi. – UTUSAN